BOSAN dengan dekorasi bilik korang yang kelihatan sesak dan sempit? Mungkin sudah sampai masanya untuk korang lakukan ‘make over’ agar ruang beradu itu tampil lebih menarik dan kelihatan lebih luas.
Walaupun idea reka bentuk moden dan mewah sering memberitahu korang bahawa perlu mempunyai ruang duduk, pejabat kecil, atau katil bersaiz king, tapi sesekali lupa bahawa utama bilik tidur adalah untuk melepaskan lelah setelah seharian sibuk dengan rutin harian.
Jadi, biarpun bilik tidur kecil, pastikan ia berfungsi dengan baik dan memberi keselesaan yang maksimum. Jika korang tidak tahu cara melakukannya, ikut tip atau idea berikut membuktikan ruang kecil juga boleh bergaya.
1. Warnakan dinding dengan warna-warna cerah
Warna putih adalah pilihan yang sangat praktikal untuk bilik tidur kecil. Ia menghalang ruang daripada kelihatan terlalu padat atau berkotak-kotak.
Menggunakan warna putih atau warna-warna pastel seperti biru lembut, kelabu cair, ungu cair dan krim boleh mencerahkan ruang terutamanya jika bilik itu tidak mempunyai tingkap.
2. Tolak katil ke tepi dinding
Untuk memaksimumkan ruang lantai, tolak katil ke dinding. Kesannya akan mewujudkan kawasan tidur yang terasa lebih selesa.
Jika suasananya nampak seperti bilik asrama, apa kata tambah ‘headboard’ pasang siap untuk mencipta gaya pereka hiasan dalaman. Selain itu boleh gunakan lampu tidur krom untuk gaya lebih versatil.
3. Gunakan perabot yang tidak mengambil banyak ruang
Beberapa inci ruang tambahan adalah sangat penting untuk sebuah bilik yang kecil. Jadi, lupakan perabot yang ‘bulky’.
Pilih bingkai katil dengan rekaan minimalis seperti yang banyak disediakan oleh gedung-gedung perabot.
Jika mahukan meja kerja, pilih meja yang juga boleh dijadikan tempat duduk ketika ketika perlu.
Kalau perlukan tempat simpan barang selain almari, beli ottoman yang mempunyai ruang penyimpanan.
4. Tambah kertas dinding
Hanya kerana bilik tidur kecil berkenaan tidak bermakna ia perlu membosankan. Tampal kertas dinding dengan corak menonjol pada dinding tumpuan (feature wall).
Jangan silap pilih motif kertas dinding. Ini kerana motif yang salah akan membuatkan bilik kelihatan lebih sempit dan berserabut.
Sebagai contoh, gunakan kertas dinding yang coraknya besar-besar dan menegak.
Satu lagi cara untuk mencipta ilusi ruang yang lebih luas ialah dengan menampal kertas dinding pada siling. Ini kerana mata penghuni bilik akan cenderung memandang secara menegak dan ini memberi ilusi ruang yang lebih tinggi dan luas.
5. Gunakan karpet atau hamparan (rug) bercorak geometri atau berjalur
Dengan menggunakan karpet atau hamparan berjalur, mata akan tertipu dengan ilusi yang kelihatan lebih lebar atau panjang daripada saiz sebenar bilik. Selain itu, boleh juga gunakan karpet yang menampilkan ciri-ciri ‘Scandinavian’ untuk lebih gaya.
6. Gantung barang-barang atau peralatan yang sesuai
Jika korang tetap mahu meletakkan skrin televisyen di dalam bilik, pastikan ia digantung di dinding, bukan meletakkannya di atas rak TV. Begitu juga dengan rak buku, lebih baik gantungkannya.
7. Pasang langsir yang sesuai
Sebaiknya guna material yang ringan dan berwarna lembut. Ini bukan bermakna korang perlukan mengorbankan kualiti tidur.
Masih boleh menggunakan fabrik anti-cahaya, tetapi pastikan juga korang memasang langsir sheer untuk mencerahkan bilik pada waktu siang.
Satu lagi tip adalah langsir juga lebih elok dipasang penuh atau ‘full height’ untuk memberi ilusi ruang yang lebih tinggi dan luas.
Sumber: Facebook FleNazHQ.