Gulai otak lembu buang urat jadi buruan, Umi kongsi teknik masakan

Iklan
Gulai otak lembu buang urat jadi buruan, Umi kongsi teknik masakan

PEPATAH ada menyebut ‘tak kenal maka tak cinta’ begitulah istimewanya gulai otak lembu yang menjadi buruan peminat tegar makanan eksotik itu di Kelantan.

Menariknya, gulai otak lembu itu mempunyai penggemar tersendiri dengan hidangan lazat daripada 'air tangan' tukang masak berpengalaman yang direncah secara tradisional sejak turun-temurun.

Iklan
Iklan

Menurut sumber, Pengusaha Kedai Makan D' Umi Nasi Ulam di Jalan Pasir Mas-Salor, Faridah Harun, 54, juga mesra dipanggil 'Umi' mendapat resipi memasak gulai otak lembu daripada ibu mertuanya, Zaharah Rejab, 70, yang merupakan tukang masak tersohor tahun 70-an dan 90-an.

Iklan

Umi yang telah 10 tahun menyajikan makanan itu berkata, antara kaedah memprosesnya ialah satu tongkol otak lembu dibelah menjadi empat bahagian, kemudian direndam dalam air biasa selama 15 minit untuk mudah membuang urat pada otak.

[caption id="attachment_26083" width="1024"] Otak lempu perlu direndam dalam air biasa selama 15 minit untuk mudah membuang urat pada otak bagi mengelakkan hanyir[/caption]

Iklan

Menurutnya, pada awal perniagaan 15 tahun lalu, suaminya, Zaidi Mat Jusoh, 56, yang menguruskan semuanya tetapi setelah suami mengalami penyakit angin ahmar, Umi mengambil alih tugas memasak dan menjaga kedai makan bersama lapan tukang masak yang lain.

Terkenal sebagai kedai nasi ulam ala kampung yang mempunyai kelas tersendiri ia menawarkan masakan eksotik seperti gulai etak, siput sedut, telur itik, perut air asam, ikan sungai dan ikan gelama bekok (ikan yang diperap air garam) menjadi kegemaran pelanggan.

Ibu kepada lima anak tersebut yang berasal dari Kampung Seberang Pasir Mas Salor berkata, beliau bersyukur kerana turut dibantu dua anak lelakinya, Mohd Faiz Zaidi, 25, dan Mohd Fahmi, 24.

Rutin hariannya seawal 8.30 pagi untuk menyediakan hampir 40 menu lauk-pauk dan ulam-ulaman termasuk budu dan tempoyak, bagi memastikan juadah telah terhidang pada waktu puncak bermula 11.30 pagi dan berlarutan ke petang terutama pada musim cuti sekolah.

Bagi penggemar setia gulai otak lembu, Umimuhaini Mohd Noor, 41, berkata beliau suka rasa masakan gulai otak lembu di kedai Umi kerana kelainannya, selain tidak berbau hanyir.

BERNAMA