TIDAK seperti kanak-kanak lain, dia tidak boleh terdedah kepada cuaca panas, tidak boleh menggaru dan tidak boleh tergeser dengan apa jua barangan termasuk pakaian dan mainan, jika tidak kulitnya akan terluka, melepuh dan tertanggal.
Itu penderitaan yang terpaksa dilalui Muhammad Faris Amsyar Mohd Zurari, 6, yang menderita penyakit Epidermolysis Bullosa (EB) atau kulit rapuh sejak dilahirkan.
Lebih menyedihkan, penyakit yang ditanggung kanak-kanak itu dipercayai belum ada penawar untuk menyembuhkan selain doktor turut mengesahkan ia akan berlarutan sepanjang hayatnya.
Menurut sumber, ibu Muhammad Faris, Norazilawani Zi, 36, berkata, pada awalnya anaknya itu dilahirkan secara pembedahan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) kerana keadaannya yang songsang, namun sebaik sahaja dilahirkan, kaki kanan anaknya didapati tidak mempunyai kulit sehingga kelihatan urat-urat daripada lutut hingga ke kaki dan doktor mengesahkan ia disebabkan penyakit EB.
Katanya keadaan kulit anak sulung daripada dua beradik itu terlalu sensitif menyebabkan anaknya itu hanya mampu berkurung di dalam rumah hampir setiap masa bagi mengelakkan kulitnya terluka.
Norazilawani berkata bagi menumpukan perhatian sepenuhnya dan memberi penjagaan rapi kepada Muhammad Faris Amsyar, beliau nekad untuk berhenti kerja sebagai kerani di sebuah syarikat insurans sejak lima tahun lepas.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 153104196259 milik Norazlinawani Zi atau menghubunginya di talian 0199443559.
BERNAMA