KADANGKALA orang tidak sedar pun mereka ada darah tinggi. Ada orang yang kata antara ‘tandanya’ adalah sakit bahagian tengkuk dan sakit kepala.
Menurut Pakar Perubatan Am, Dr Syid Ayod Syid Mustafa Al-Qudri, golongan lelaki berusia 30 tahun ke atas berisiko tiga kali ganda lebih tinggi menghidap tekanan darah tinggi berbanding wanita.
"Tapi tak semestinya tekanan darah tinggi ada simptom tersebut. Jadi ini saya kongsikan tujuh perkara yang anda tak sedar pun boleh tingkatkan tekanan darah,” tulisnya di entri Facebook.
Ingat, jangan ambil mudah dengan tekanan darah tinggi kerana ia boleh sebabkan banyak komplikasi seperti:
1) Rosak buah pinggang (hypertensive nephropathy) sehingga perlu dialisis
2) Komplikasi pada mata yang sebabkan urat darah dalam mata bermasalah (hypertensive retinopathy)
3) Penyakit kardiovaskular seperti sakit jantung, lemah jantung, serangan jantung dan strok
Mengikut Kajian Morbiditi Kebangsaan 2019, lebih kurang 6.4 juta rakyat Malaysia menghidap tekanan darah tinggi.
"Maksudnya lebih kurang tiga daripada 10 rakyat Malaysia dewasa mempunyai masalah ini.
"Cuma, disebabkan tiada simptom, statistik menunjukkan separuh daripada mereka tak sedar yang mereka adalah penghidap dan daripada jumlah penghidap tekanan darah tinggi ini 90 peratus mengambil ubat tetapi hanya 45 peratus mempunyai tekanan darah yang terkawal,"kongsi Dr Syid.
Kebiasaannya doktor akan nasihatkan untuk kurangkan pengambilan makanan masin, jaga pemakanan, jaga senaman dan gaya hidup tetapi sebenarnya ada perkara lain yang boleh menyebabkan tekanan darah naik antaranya:
1) Gula
- Bukan garam sahaja yang perlu dikawal apabila anda mempunyai tekanan darah tinggi, gula juga perlu dikurangkan.
- Gula bukan penyebab kencing manis sahaja. Tetapi memandangkan kencing manis ini merupakan satu penyakit berangkai, jadi ia boleh sebabkan penyakit-penyakit lain seperti tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi dan masalah jantung.
- Lagi-lagi bila ambil gula berproses yang sangat merbahaya. Gula jenis ini dipanggil High Fructose Corn Syrup (HFCS) dan sering digunakan dalam industri makanan.
- Mengikut kajian, gula boleh meningkatkan bacaan tekanan darah sistolik dan diastolik.
- Pengambilan gula dalam bentuk makanan contoh seperti air cola yang ada lebih kurang 80gram gula, ia boleh meningkatkan tekanan sistolik hingga 15 point dan tingkatkan bacaan diastolik sehingga 9 point.
- Ini sudah tentu disebabkan oleh kandungan fruktosa tidak semulajadi yang ada dalam minuman tersebut.
- Badan tidak dapat menggunakan fruktosa, lalu ia akan dihantar ke hati untuk diproses dan akan menyebabkan keradangan.
- Keradangan kronik akan mengganggu fungsi Nitric Oxide dan menyebabkan saluran darah untuk mengecut dan menyebabkan tekanan darah naik.
2) Loner
- Ada sesetengah individu yang suka duduk sendiri-sendiri dan kurang bersosial. Bukan sebab stres atau apa, tapi mungkin mereka mempunyai keyakinan diri yang rendah dan tak suka ditolak atau mengelakkan diri daripada kekecewaan.
- Kajian mengatakan mereka yang suka menjadi loner ini, dalam empat tahun, risiko untuk tekanan darah meningkat sehingga 14 point dan itu adalah sangat tinggi.
- Sebab itu kalau nak kena kurangkan tekanan darah tinggi, anda semua perlu gembira dan senyum selalu. Penting juga untuk sentiasa yakin dengan diri sendiri agar tidak mudah terkesan dengan apa yang orang lain katakan.
3) Sleep apnea
- Ramai yang tak sedar mereka tidur berdengkur tapi bukan berdengkur sahaja.
- Tapi sleep apnea bukan berdengkur seperti biasa kerana akan sampai satu tahap tiba-tiba dia tidak bernafas. Kemudian apabila terkejut dan baru la dia bernafas semula.
- Bila ini terjadi, ia boleh menyebabkan otak kita keluarkan bahan kimia yang boleh meningkatkan tekanan darah tinggi dan kalau berlaku secara kronik, dan sebabkan masalah darah tinggi.
- Lagi-lagi bila anda tidur atau berehat yang sepatutnya oksigen masuk dalam badan tetapi tak berjaya jadi ini akan mengganggu kesihatan salur darah dan menyebabkan lagi sukar untuk mengawal tekanan darah.
4) Kurang potassium
- Mereka yang kurang potassium atau kalium iaitu sejenis mineral, walaupun dah pantang garam, tapi akan masih sukar nak turunkan tekanan darah.
- Buah pinggang memerlukan potassium untuk mengeluarkan garam yang berlebihan. Garam pula tak begitu sihat sebab dia akan menjemput pengumpulan air (water retention) dalam badan dan memberi kesan kepada tekanan darah manakala banyak garam akan menyebabkan paras potassium menjadi rendah.
- Potassium banyak didapati dalam sayur-sayuran, buah-buahan, susu, kekacang dan lain-lain.
5) Masalah tiroid
- Tiroid bengkak tidak semestinya menunjukkan ada masalah.
- Yang jadi masalah apabila anda mempunyai masalah tiroid terlebih atau kurang aktif.
- Dua-dua keadaan boleh menyebabkan tekanan darah tinggi dan sukar untuk mengawal tekanan darah
- Anda boleh membuat pemeriksaan ringkas melalui memeriksa nadi. Jika nadi itu lebih 100 dalam masa satu minit mungkin anda ada masalah tiroid terlebih aktif.
- Kalau nadi bawah 60 seminit mungkin anda ada masalah tiroid kurang aktif.
- Sebaiknya, buat ujian darah untuk pemeriksan yang lebih tepat di klinik atau hospital.
6) Ubat-ubatan
- Contohnya ubat selesema. Lagi-lagi mereka yang ada masalah resdung dan ia boleh mengecutkan saluran darah dan memerlukan tekanan darah yang tinggi untuk mengepam darah ke seluruh badan.
- Ubat tahan sakit seperti NSAIDS, aspirina atau cerebrex yang selalu diambil oleh mereka yang ada masalah sendi yang kronik
- Ubat lain seperti pil perancang dan ubat antidepresi juga turut menyebabkan gangguan.
7) Dehidrasi
- Ramai yang kurang minum air, terutamanya golongan wanita. Sama ada ia sudah menjadi tabiat ataupun kurang gemar untuk ke tandas.
- Bila kurang minum air maksudnya jumlah darah pun akan kurang.
- Apabila darah kurang, kelenjar pituari di otak akan lepaskan satu hormon untuk kecutkan salur darah bagi memudahkan darah sampai ke seluruh badan. Bila saluran darah menjadi kecut, semestinya tekanan darah akan meningkat kerana saluran yang mula mengecil.
Selain daripada memerhatikan tujuh tanda ini, semestinya penjagaan gaya hidup juga penting.
"Jadi, nasihat paling mudah untuk mengawal tekanan darah semestinya penjagaan gaya hidup iaitu menjaga pemakanan.