SESIAPA sahaja yang singgah di kediaman guru agama ini pasti akan berasa seolah-olah sedang berada di pusat peranginan terkenal, Cameron Highlands.
Manakan tidak, halaman rumah Ramli Yusof, 55, yang terletak di Kampung Berangan Pak Ayu, di Bukit Payong, Marang, Terengganu, dipenuhi dengan kehijauan daun dan kemerahan buah strawberi yang menyejuk mata memandang.
Memetik laporan portal media tempatan, Ramli atau mesra dipanggil Ustaz Ramli pada mulanya hanya menanam sekitar 50 pokok strawberi sejak dua tahun lalu sebagai hobi.
Namun, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama kira-kira tiga bulan sejak Mac lalu telah memberi kesempatan kepada guru di Sekolah Kebangsaan Bukit Payong ini untuk meluangkan masa di kebunnya, yang sehingga kini mempunyai 1,200 pokok strawberi terdiri daripada pelbagai jenis.
Kebun mini beliau juga telah dinamakan dan dikenali sebagai ‘Strawberry_Tokki’.
Ramli yang sememangnya gemar bercucuk tanam sejak muda berkata, beliau menimba ilmu mengenai penjagaan pokok strawberi daripada rakan dan menonton video-video di saluran YouTube.
Katanya, menanam strawberi tidaklah rumit seperti yang disangka ramai, malah ia merupakan tanaman yang tahan lasak dan sukar untuk ‘mati’.
Isterinya Norizan Pipeh, 51, yang juga seorang guru turut membantu Ramli bersama-sama mengusahakan kebun mini ‘Strawberry_Tokki’ yang mula dibuka untuk kunjungan orang ramai sejak kira-kira lima bulan lepas.
Katanya setakat ini, ‘Strawberry_Tokki’ yang dibuka setiap Jumaat dan Sabtu itu tidak henti didatangi pengunjung termasuk dari luar Terengganu.
Selari dengan peredaran semasa, Ramli yang merupakan datuk kepada tiga cucu itu telah mula memasarkan anak pokok strawberi melalui platform perniagaan dalam talian dan media sosial sejak bulan lepas dan sambutan yang diterima sangat menggalakkan.
Ramli turut berharap supaya tanaman strawberinya itu akan terus berkembang dan kebun mininya mempunyai lebih 3,000 pokok strawberi.
BERNAMA