LAMAN penstriman video terbesar dunia, YouTube yang gagal diakses pengguna awal hari ini, kini kembali berfungsi seperti sediakala.
Kesulitan dipercayai melibatkan pengguna di seluruh dunia pada sekitar jam 8 pagi (waktu Malaysia) dan pulih pada sekitar jam 10 pagi tadi.
Menerusi kenyataan di laman Twitter, YouTube menyatakan terdapat masalah untuk menstrim video dan mendengar muzik melalui YouTube, YouTube TV, YouTube Music serta YouTube Kids.
Namun kira-kira dua jam selepas itu, YouTube mengemas kini status menyatakan gangguan sudah pulih dan laman itu sudah boleh diakses semula.
Pihak mereka juga meminta maaf terhadap gangguan yang dihadapi pengguna dan berterima kasih kerana bersabar menunggu ia dibaik pulih sepenuhnya.
Namun, YouTube juga tidak menjelaskan lebih terperinci punca gangguan itu terjadi dan berharap perkara seumpama itu tidak berulang.
Pada awalnya masalah hanya melibatkan pengguna YouTube Studio yang tidak boleh memuat naik video. Ia kemudiannya merebak sehingga semua pengguna tidak boleh menonton sebarang video.
Disebabkan kejadian itu juga telah menyebabkan laman itu trending di platform media sosial seluruh dunia dengan tanda pagar #YoutubeDown.
Hasil tinjauan SinarPlus pula mendapati sehingga artikel ini ditulis laman tersebut kini telah berfungsi dengan baik dan pengguna juga boleh menonton video seperti sedia kala tanpa sebarang gangguan.
Oleh itu, selamat menonton!