ESOK, masyarakat beragama Hindu bakal menyambut perayaan Deepavali. Diibaratkan sebagai Pesta Cahaya, nyalaan pelita yang sinonim sebagai lambang kemenangan ke atas kuasa kejahatan ini secara simboliknya memberi maksud dan pengertian yang sangat bermakna terutamanya terhadap penerapan nilai-nilai positif dalam kehidupan.
Sememangnya, sambutan perayaan dalam normal baharu adalah suatu kelainan namun dengan kepelbagaian penawaran kemudahan serta perkhidmatan jalur lebar dalam era teknologi digital masa kini, setiap individu masih boleh berhubung secara dua hala terutamanya dengan orang tersayang iaitu ibu bapa di kampung dan sanak saudara sepanjang musim perayaan berkenaan.
Sementara itu, Petronas menyemarakkan sambutan Deepavali tahun ini dengan 'Vattam', sebuah filem web muzikal animasi yang dihasilkan untuk membawa sedikit kegembiraan dalam kalangan keluarga dan rakan-rakan ketika melalui tempoh mencabar bersama.
Petronas dalam satu kenyataan memaklumkan, 'Vattam' diterjemahkan sebagai 'lingkaran' yang mewakili keutuhan dan cara anggota keluarga saling melengkapi dan memperlihatkan tradisi keluarga yang erat dalam membuat murukku.
Kata kenyataan itu, tradisi membuat makanan ringan tradisional yang popular dalam kalangan semua rakyat Malaysia itu memainkan peranan istimewa dalam menyatukan keluarga beberapa minggu sebelum Deepavali.
Filem web animasi itu mencerminkan kebersamaan sebuah keluarga melalui tradisi membuat muruku bagi menyambut Deepavali.
Empat beradik yang memiliki keperibadian berbeza ditonjolkan melalui kepelbagaian bahan dan perkakasan yang digunakan untuk membuat muruku.
Setiap satu berperanan penting dan tidak sempurna tanpa satu sama lain, begitu juga sebuah keluarga, ia seharusnya saling harmoni serta seiringan bersinar seperti cahaya.
Menurut kenyataan itu lagi, filem Vattam juga dihidupkan melalui nyanyian dan tarian yang mampu menghiburkan penonton.
Tema perayaan Petronas untuk tahun 2020 iaitu 'Keluarga Unik Kami' bergema di seluruh filem web dan memperlihatkan semangat rakyat Malaysia yang tidak dapat dikalahkan untuk mengatasi rintangan secara kolektif walaupun terdapat perbezaan individu.
'Vattam' disiarkan dan tersedia untuk ditonton di saluran YouTube rasmi dan laman Facebook Petronas.
https://www.youtube.com/watch?v=FBmAAsnoxMo