Ikan demam popular di Perak, ini yang anda kena tahu

Iklan

KALAU diteliti semula, nenek moyang kita sangat kreatif dalam memberikan nama bagi setiap resipi yang mereka hasilkan.

Mereka juga tidak sesuka hati menamakan setiap sajian kerana rata-ratanya akan disusuli dengan alasan-alasan yang logik.

Iklan
Iklan

Misalnya, resipi turun-temurun masyarakat Perak, ikan pindang daun seniar yang digelar orang zaman dulu kala sebagai ikan demam.

Sebelum menerangkan lebih lanjut, Rahizawati Mokhtar atau mesra disapa Kak Zaza memberitahu SinarPlus, sebenarnya masakan itu sukar untuk ditemui lagi.

Iklan

[caption id="attachment_27160" width="1024"] Rahizawati Mokhtar.[/caption]

Pun demikian, katanya, beberapa lokasi di negeri Perak, ia masih boleh didapati, namun pada hari raya sahaja.

Iklan

Meneruskan bicara, Kak Zaza berkata, ikan pindang daun seniar dihasilkan dengan menggunakan ikan sungai seperti ikan loma yang akan dilumur dengan bahan perapan dan kemudian dibalut dengan daun seniar.

"Ikan yang dibalut dan diikat harus direbus selama dua atau tiga hari supaya semua bahan yang dibalut tadi sebati dan tulang ikan menjadi lembut.

"Itu sebab katanya, resipi berkenaan dipanggil ikan demam kerana ia seolah-olah ikan itu sedang ‘berselimut‘ (dibalut bersama daun seniar). Daun seniar itu juga boleh dimakan," ujarnya yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak.

Bukan itu sahaja, ujar Kak Zaza, untuk mendapatkan rasa kuah yang lebih enak dimakan, ia boleh dimasak berhari-hari. Isi ikan pada masa itu akan bertukar lebih lembut dan tulangnya mereput.

"Berkemungkinan besar masyarakat dahulu tidak mempunyai peti ais, oleh sebab itulah masakan itu dimasak berhari-hari agar ia tahan lama.

"Lazimnya, Kak Zaza akan menggunakan ikan loma berbanding ikan-ikan sungai lain kerana menurut ibu Kak Zaza, ikan loma tidak memerlukan masa yang sangat lama untuk tulang jadi lembut," tutur pengusaha kuih tradisional itu dan turut menerima tempahan baju itu.

Mengulas mengenai cara memasak ikan pindang daun seniar, Kak Zaza berkata, masakan itu akan menjadi lebih ‘padu‘ jika dilebihkan kuantiti lengkuas dan serai.

Untuk membaluti ikan pula, ia sedikit renyah dan perlukan kesabaran kerana bahan perapannya berair.

"Ikan demam itu juga boleh dibekukan dan boleh dijadikan menu lain seperti gulai lemak cili api dan rendang pedas," ungkapnya.

Penulis turut berkesempatan merasa sendiri masakan tersebut bersama nasi goreng. Ya, benar, tekstur isi dan tulang ikan loma sangat lembut. Aromanya juga membangkitkan selera dengan rasanya yang sedikit pedas.

PROFIL

  • Nama: Rahizawati Mokhtar
  • Umur: 43 tahun
  • Asal dan menetap: Kampung Cheh, Kati, Kuala Kangsar, Perak

RESIPI IKAN PINDANG DAUN SENIAR

Bahan-bahan:

  • 1 kilogram ikan loma (atau sebarang ikan sungai)
  • Daun seniar (seekor ikan menggunakan dua helai daun)
  • 7 batang serai
  • 2 inci lengkuas
  • 1 1/2 inci halia
  • 2 inci kunyit hidup
  • 3 biji bawang besar
  • 6 ulas bawang putih
  • 10 biji cili api
  • Sedikit cili kering
  • Sedikit belacan
  • 3 keping asam keping
  • Garam
  • Air secukupnya

Cara penyediaan:

  1. Kisar semua bahan iaitu serai, lengkuas, halia, kunyit hidup, bawang besar, bawang putih, cili api, cili kering dan belacan bersama sedikit air.
  2. Ikan loma dipotong tiga bahagian (dikelar). Kuantiti potongan bergantung kepada saiz ikan.
  3. Gaul bahan perapan bersama bahagian ikan loma yang telah dipotong sehingga sebati.
  4. Balut bahagian ikan tersebut dengan daun seniar dan ikat dengan rapi menggunakan tali.
  5. Masukkan air ke dalam periuk sehingga menutupi semua bahan yang hendak dimasak.
  6. Masak ikan pindang daun seniar di atas api sehingga isi dan tulang ikan menjadi lembut.

Sumber: Rahizawati Mokhtar

RESIPI SEMUR AYAM JAWA

Bahan-bahan:

  • 1 ekor ayam (dipotong sederhana)
  • 10 biji bawang merah
  • 5 ulas bawang putih
  • 2 inci halia
  • 1 biji bawang besar (dipotong bulat)
  • 1/3 cawan kicap lemak manis
  • 1/2 cawan santan
  • 1 kuntum bunga lawang
  • 1 batang kulit kayu manis
  • 1 sudu besar jintan manis
  • 1 sudu besar ketumbar
  • 10 biji cili api (diketuk)

Cara penyediaan:

  1. Ayam potong sederhana, cuci bersih dan lumurkan dengan serbuk kunyit dan garam goreng
  2. Tumbuk kasar bawang merah, bawang putih, halia, jintan manis dan ketumbar. Di dalam kuali, panaskan minyak tumiskan, masukkan sekali kulit kayu manis dan bunga lawang.
  3. Tumis hingga naik bau.
  4. Masukkan ayam, tuang kicap lemak manis dan bawang besar gaul merata.
  5. Masukkan santan dan masak sebentar.
  6. Selepas itu, rasa jika perlu atau tidak untuk masukkan sedikit garam atau gula (sesedap rasa).
  7. Akhir sekali masukkan cili ketuk.

Sumber: Facebook Julia Aleen Aireish