HARI demi hari, pakar dan saintis seluruh dunia dilihat ‘berlumba-lumba’ cuba untuk menghasilkan vaksin Covid-19 ekoran penularan pandemik tersebut masih belum menemui jalan tamat sehingga ke hari ini.
Satu demi satu kejayaan dicapai dan beberapa vaksin dengan ketepatan yang tinggi telah berjaya dihasilkan.
Terbaharu, terdapat lima lagi calon vaksin Covid-19 yang telah memasuki ujian percubaan fasa ketiga di China setakat ini dan antara yang paling disebut-sebut adalah vaksin Coronavac dihasilkan syarikat Sinovac Biotech dan Sinopharm oleh syarikat China National Biotec Group (CNBG).
Memetik laporan portal media tempatan, dilaporkan seramai 60,000 individu telah menerima suntikan vaksin Sinovac melalui Program Kecemasan yang dilancarkan Beijing sejak Julai lalu.
Menurut Wartawan Radio Antarabangsa China (CRI), Zhang Hong, keputusan ujian percubaan fasa ketiga masih belum diumumkan syarikat farmaseutikal yang membangunkan vaksin Sinovac dan Sinopharm adalah disebabkan lokaliti ujian itu diadakan.
Mengulas lanjut, Hong berkata, China tidak berada dalam keperluan mendesak untuk mendapatkan vaksin kerana negara itu hanya mempunyai risiko kes import yang rendah dan barangan import yang diterima mempunyai kesan virus pada bungkusan.
Menurut Data Johns Hopkins University, China merekodkan keseluruhan 91,885 kes jangkitan dengan 4,742 kematian setakat ini.
Ditanya sama sekiranya vaksin yang dihasilkan di China lebih murah daripada vaksin yang dihasilkan di Amerika Syarikat dan Eropah, Hong berkata perkara itu sudah dinyatakan oleh pemimpin China berulang kali.
"Dalam Sidang Kemuncak ASEAN baru-baru ini pemimpin China menegaskan ASEAN akan diutamakan setelah vaksin China berjaya dihasilkan serta akan disenaraikan sebagai produk awam yang mampu dibayar oleh semua negara membangun.
Sumber rujukan : astroawani