PENDAKWAH muda, Da'i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful Syed Jamalullail membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Twitter, @ainunnnajwa yang didakwa memfitnahnya merogol seorang gadis.
Laporan itu dibuat di Balai Polis Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor sekitar jam 5.45 petang Selasa, susulan pemilik akaun berkenaan mendakwa rakannya mengalami trauma selepas menjadi mangsa rogol pendakwah itu.
Kesal dengan tuduhan berkenaan, Syed, 25, berkata, laporan polis itu dibuat untuk membersihkan nama baiknya, selain melindungi dirinya daripada dikaitkan dengan dakwaan tidak berasas itu.
"Tuduhan itu terlalu berat dan menjatuhkan maruah serta reputasi saya. Saya terkejut dengan tuduhan itu dan menyifatkan ia sebagai fitnah paling buruk yang pernah saya hadapi selama menjadi pendakwah.
"Saya memandang serius perkara ini dan berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan lanjut kerana dakwaan itu mencemarkan nama baik saya," katanya menerusi satu kenyataan kepada pihak media.
Dalam pada itu, Syed juga mengharapkan isu tersebut dapat diselesaikan segera.
"Saya berharap isu ini dapat diselesaikan dengan segera kerana ia mencalarkan maruah saya dan keluarga.
"Saya anggap kontroversi ini sebagai dugaan dalam saya menjalankan tanggungjawab untuk menyalurkan mesej Islam," katanya.
(FOTO: Instagram & Twitter Da'i Syed)