PENGGUNAAN vaksin Covid-19 akan diperhalusi dalam Muzakarah Fatwa Kebangsaan akan datang dengan mengambil kira semua aspek termasuk soal masaqid syariah selain memastikannya tidak memudaratkan tubuh badan untuk jangka masa panjang.
Memetik laporan portal media tempatan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, perbincangan akan melibatkan pakar seperti mufti, wakil Kementerian Kesihatan dan ahli akademik.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan tabung Musaadah Covid-19 kepada seorang pesakit buah pinggang di Port Dickson semalam.
Pada persidangan Dewan Rakyat semalam, Zulkifli dilaporkan berkata, Mesyuarat Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) menjelaskan hukum penggunaan vaksin ialah ‘harus’, selari dengan kaedah pencegahan yang dianjurkan Islam berteraskan prinsip maqasid syariah iaitu menjaga nyawa.
Terdahulu, Zulkifli meluangkan masa kira-kira 30 minit menyantuni Muhammad Syahmi Mohd Shamsul Bahari, 19, yang mengalami kerosakan buah pinggang sejak berusia lima tahun di kediaman ibu bapanya di Taman Lukut Makmur, dekat sini.
Kisah Muhammad Syahmi mendapat perhatian ramai pihak sebaik disiarkan media tiga hari lalu yang melaporkan bapanya Mohd Shamsul Bahari Ab Jalal, 48, berhasrat menjual kediamannya bagi mencari dana untuk membiayai kos pembedahan anak kedua daripada lima beradik itu.
Sementara itu, Mohd Shamsul Bahari yang menzahirkan rasa syukur berkata kos pembedahan pemasangan Arteriovenous Fistula (AVF) dan kos pembedahan urat saraf sudah mencukupi dan pembedahan dijangka dilakukan bulan depan.
BERNAMA