MALAYSIA sememangnya merupakan negara yang mempunyai musim panas dan lembab sepanjang tahun.
Tambahan pula kini musim tengkujuh sedang melanda di beberapa kawasan dan ditambah pula dengan keadaan cuaca yang tidak menentu sejak kebelakangan ini.
Hampir seluruh negeri di Malaysia mengalami cuaca tidak menentu dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) juga baru-baru ini mengeluarkan amaran cuaca buruk dan waspada, dengan hujan lebat dijangka berlaku di banyak kawasan di enam negeri Semenanjung dan beberapa kawasan di Sabah.
Pastinya cuaca hujan yang berpanjangan dan tidak menentu akan menjejaskan apa sahaja aktiviti harian kita.
Untuk golongan yang gemar berbasikal pula pasti mengeluh apabila hujan turun ketika mereka sedang membuat kayuhan.
Pastinya ia akan menjejaskan aktiviti mereka dan membantutkan jadual yang telah dirancang terutama pada hujung minggu.
Tambahan pula aktiviti tersebut dilihat semakin mendapat tempat dalam kalangan orang ramai dan mendakwa dengan berbasikal mereka dapat meningkatkan stamina, membakar kalori dengan cepat dan menjadikan penampilannya lebih menarik apabila diamalkan dengan pemakanan yang sihat.
Namun, ketika musim hujan tiba, jangan jadikan ia halangan untuk teruskan aktiviti berbasikal.
Selain mengenakan baju sukan basikal yang betul, berikut adalah beberapa tip yang disarankan. Antaranya adalah seperti:
1. Sentiasa bawa beg plastik.
Ketika hujan, barang yang dianggap remeh seperti beg plastik akan menjadi barangan yang mempunyai fungsi sangat besar bagi menyelamatkan barang-barang daripada dibasahi hujan.
Barang-barang berharga seperti barangan elektronik, beg duit dan sebagainya perlu diselamatkan terlebih dahulu supaya ia tidak rosak apabila terkena hujan.
2. Bawa pakaian hujan.
Sangat disarankan untuk membawa baju hujan ketika musim hujan tiba. Selain baju basikal custom yang selesa digunakan, lapisan baju hujan akan melindungi tubuh serta brang-barang daripada basah terkena air hujan.
3. Menggunakan jersi basikal yang selesa.
Bagi yang memang sengaja ingin berbasikal ketika musim hujan, selain beberapa perkara di atas, keselesaan pemakaian pakaian berbasikal merupakan kata kunci yang cukup penting.
Seperti jersi basikal, kini telah tersedia ada dijual jersi yang mana ia dibuat daripada kain yang sangat ‘mesra’ untuk menahan cuaca sejuk dan lembap.
Pelbagai pilihan jersi khas berbasikal yang selesa dengan pelbagai pilihan gaya dan material pembuat boleh didapati di kedai basikal mahupun kedai sukan.
Pastinya korang akan kelihatan kacak dan cukup bergaya!
4. Makan multivitamin.
Ini juga sangat penting! Musim hujan sering membawa kesan yang kurang baik bagi kesihatan dan daya tahan tubuh.
Untuk mencegah atau mengatasi permasalahan penurunan daya tahan tubuh ketika musim hujan ialah dengan mengambil multivitamin secara rutin.
Kandungan nutrisi serta pelbagai zat bermanfaat dalam multivitamin akan berkerja secara optimum dalam menjaga kesihatan serta daya tahan tubuh bagi penunggang basikal yang lebih terdedah sering terkena air hujan ketika berbasikal.
5. Cuci basikal selepas diguna.
Sebaik taman membuat kayuhan, sebaiknya bersihkan semula basikal korang dengan membilasnya dengan air bersih.
Hal itu bertujuan untuk mengelakkan daripada karat yang boleh mudah muncul jika basikal yang terkena air hujan tidak segera dibersihkan atau dibilas dengan air bersih.
Siraman boleh dimulakan dengan bahagian tayar, frame dan diikuti komponen lain serta jika perlu, korang juga boleh gunakan sabun dan bilas sehingga bersih.
Apa pun perlu diingat, berbasikal ketika hujan perlu lebih berhati-hati dan jika hujan terlalu lebat ada lebih baik berhenti membuat kayuhan atau batalkan sahaja hasrat untuk keluar berkayuh kerana ia sangat berisiko!
Ini kerana ketika hujan lebat penglihatan kita juga terhad ditambah pula dengan permukaan jalan yang licin dan angin yang kuat.
Jadi, berhati-hati. Semoga bermanfaat!