MOMEN pada 1 September lalu masih segar dalam kotak memori model, Nurida Suraya Mohd Suhaimi. Pagi itu kesihatannya baik, malah kondisi kandungan beliau juga sihat dan normal.
Lalu, teringin mengambil angin beliau mengajak suaminya, Rizman Nordin iaitu salah seorang pereka dan pengasas jenama Rizman Ruzaini keluar dari kota raya Kuala Lumpur bersiar-siar ke Genting Highlands, Pahang.
Sebaik sahaja menjejakkan kaki di taman tema popular tersebut Nurida Suraya atau lebih mesra disapa Nurida mula berasa kurang selesa pada bahagian perut. Tanggapan awal, mungkin ketidakselesaan itu sekejap sahaja, tetapi lain pula berlaku.
Wanita berusia 31 tahun itu mengalami pendarahan kecil, namun tiada kontraksi tanda-tanda ingin bersalin. Lagipun mengikut jadual beliau dijangka melahirkan anak dalam tempoh seminggu lagi.
Bimbang pendarahan terbabit memudaratkan kandungan, Nurida dan Rizman bergegas ke hospital melakukan pemeriksaan lanjut. Debaran dirasai bersurut tenang apabila doktor memaklumkan keadaannya stabil.
Pun begitu, sebelum dibenarkan pulang anak jati Kuala Lumpur itu diminta melakukan pemeriksaan Cardiotocography (CTG).
"Saya mula gelisah dan bimbang sebaik sahaja doktor memaklumkan hasil pemeriksaan CTG kadar degupan jantung bayi menurun lebih tiga kali.
"Bayangkan, dalam keadaan belum bersedia saya terpaksa ditolak ke bilik pembedahan untuk bersalin Caesarean.
"Gemuruhnya pada ketika itu ALLAH sahaja yang tahu, namun bersyukur semua berjalan lancar. Puteri sulung kami, Rizqaa Rizman sihat dan tiada sebarang komplikasi," ujarnya mengimbas detik melahirkan cahaya mata secara kecemasan ketika itu.
Bicara Nurida, menikmati proses kehamilan, bersalin dan sesi berpantang merupakan pengalaman terindah dalam hidupnya biarpun melalui tempoh tersebut dalam keadaan pandemik Covid-19.
[caption id="attachment_28589" width="1024"] MODEL jelita ini, bersyukur tempoh kehamilan dan bersalin berjalan lancar meskipun terpaksa melaluinya dalam situasi pandemik Covid-19.[/caption]
"Disebabkan situasi ini (Covid-19) saya memilih menjalani tempoh berpantang di rumah sendiri bertemankan suami, pembantu rumah dan seorang juruterapi perbidanan.
"Selama 44 hari daripada sesi urutan, mandian hingga memasak lauk berpantang semuanya dikendalikan juruterapi perbidanan," katanya yang sedang bahagia melayari alam baharu kini.
Kepada SinarPlus, Nurida mengakui, wanita selepas bersalin sememangnya memerlukan perhatian dan sokongan daripada pasangan dan ahli keluarga.
Pencinta rona hitam dan putih itu menambah, selepas melahirkan anak, golongan ibu lazimnya berisiko tinggi mengalami masalah psikologi seperti meroyan dan kemurungan.
Situasi itu mungkin berlaku disebabkan perubahan hormon dan tekanan menanggung kesakitan bersalin baik secara normal mahupun pembedahan. Apa lagi, luka jahitan pula mengambil masa untuk sembuh.
"Oleh yang demikian, suami dan individu rapat harus memainkan peranan penting. Sekurang-kurangnya memberikan sokongan dan bantuan meliputi pelbagai aspek kepada isteri yang baru bersalin.
"Jangan biarkan isteri menanggung beban melakukan kerja rumah dan menjaga anak seorang diri. Dalam situasi peribadi, alhamdullilah saya dan Rizman mengamalkan konsep toleransi khususnya melibatkan pengurusan Rizqaa sepanjang tempoh berpantang," kongsi Nurida yang perlu disarankan berehat selama enam bulan sebelum aktif semula melakukan senaman yoga dan pilates.
[caption id="attachment_28591" width="1024"] RIZMAN disifatkan suami yang ringan tulang membantu menguruskan anak dan memberikan sokongan sepanjang Nurida menjalani sesi berpantang.[/caption]
Status suami
Selamat diijabkabul bersama Rizman pada 13 September 2019, mungkin memberikan kelebihan buat Nurida dari segi fesyen dan tata rias.
Tidak keterlaluan menyifatkan penampilan Nurida tatkala menghadiri pelbagai majlis baik bersama suami mahupun secara solo sentiasa tampak anggun, elegan dan sofistikated.
Bahkan, kemunculan beliau pantas menjadi buruan lensa kamera jurugambar acara.
Ditanya adakah stail digayakan mengikut cita rasa sendiri atau ditentukan oleh Rizman yang bertindak sebagai pereka fesyen peribadi? Anak ketiga daripada enam beradik itu berkongsi cerita.
"Sejujurnya, saya seorang yang ringkas berfesyen dan kurang gemar bersolek, namun hari ini situasi berbeza. Percaya atau tidak, selepas berkahwin pemilihan pakaian, aksesori, tas tangan, gaya rambut dan konsep solekan semuanya ditetapkan oleh Rizman.
"Pendek kata dari hujung rambut hingga hujung kaki adalah pilihan suami. Tugas saya hanya menyarungkan sahaja. Mudah bukan?
"Saya sedikitpun tidak rasa terbeban dan terkongkong, malah gembira. Sebelum ini suami dan rakan bisnesnya, Ruzaini sering bereksperimentasi menghasilkan busana indah buat para wanita di luar sana, tetapi kini saya menikmati peluang itu saban hari," ujarnya yang menyifatkan rutin berhias secara tidak langsung membantu menjaga nama baik dan imej Rizman.
[caption id="attachment_28592" width="1024"] NURIDA menjelaskan, penampilannya dari hujung rambut hingga hujung kaki termasuk aksesori dan sepatu disediakan suami tercinta, Rizman.[/caption]
Graduan lepasan Diploma Pegawai Perhubungan Awam itu turut memberitahu, beliau tidak pernah canggung menyarungkan koleksi busana karya suami tercinta. Bahkan, sentiasa teruja dengan rekaan Rizman Ruzaini yang mengikut trend fesyen semasa.
Dalam pada itu, nampaknya Rizqaa juga ‘terikat‘ dengan aturan pakaian ditentukan oleh bapanya sendiri.
Jika singgah ke laman sosial Rizqaa yang menggunakan nama akaun @rizqaarizman, rata-rata warga maya menzahirkan betapa beruntungnya si kecil tersebut berpeluang menggayakan persalinan label, Rizman Ruzaini.
Koleksi foto yang paling mendapat perhatian ramai apabila Rizqaa dirias memakai gaun persis puteri Disney hasil kreativiti Rizman Ruzaini.
Selain Snow White, bayi comel itu juga ‘beraksi‘ watak Puteri Jasmine, Puteri Sleeping Beauty, Belle (Beauty and The Beast) dan Cinderella yang kononnya sedang menunggu kehadiran putera idaman membawa sebelah lagi sepatu.
"Benar, boleh dikatakan kebanyakan gaun Rizqaa direka khas oleh Rizman kecuali baju tidur. Kadangkala, beliau (Rizman) yang akan menyiapkan anak sebelum kami keluar bersama," ulasnya yang bersyukur memiliki suami gigih bekerja dan cahaya mata yang mudah diuruskan.
Memasuki fasa baharu bergelar ibu, rutin kehidupan Nurida berubah hampir 360 darjah.
Jika sebelum ini tumpuan lebih kepada diri sendiri, karier dan suami, tetapi kini tanggungjawabnya bertambah dengan kehadiran Rizqaa.
Enggan meletakkan tugasan seorang ibu sepenuhnya kepada pembantu, bekas pelajar Sekolah Menengah Taman Melawati, Kuala Lumpur itu memutuskan meninggalkan kerjaya sebagai model.
Rezeki
"Lagipun modeling sekadar part-time (separuh masa) untuk mengisi lapang memandangkan selepas berkahwin, saya telah berhenti kerja sebagai pembantu peribadi di sebuah syarikat.
"Namun begitu, saya hanya menerima job ini (modeling) bagi menjayakan kempen promosi produk jenama Rizman Ruzaini. Rasanya lebih mudah bekerja dengan suami," tutur Nurida.
Bagi memastikan urusan famili tidak terabai dan anak pula sentiasa di depan mata, maka mengusahakan bisnes merupakan solusi terbaik.
"Selepas berbincang bersama suami, akhirnya kami memilih membina jenama Rizman Ruzaini Beauty yang memfokuskan pada kecantikan dan kesihatan.
"Selain produk detoks berasaskan jus buah pic dan ekstrak teh hijau serta ekstrak aloe vera, kami turut menawarkan set lipstik matte variasi warna," ujarnya.
[caption id="attachment_28594" width="1024"] SELEPAS melahirkan anak, Nurida (kiri) hanya aktif modeling untuk kempen jenama Rizman Ruzaini yang diusahakan duo pereka, Rizman Nordin (dua dari kiri) dan Ruzaini Jamil (duduk, depan).[/caption]
Pun begitu, Nurida menzahirkan keterujaan apabila bisnes yang pada asalnya hanya dijual secara online kini berkembang ke Singapura.
"Daripada satu stokis di satu negeri, alhamdulillah, kami sudah ada lebih 300 wakil penjual di seluruh negara," katanya teruja.
Nurida menambah, soal keuntungan ditolak ketepi dahulu kerana keutamaan mereka adalah mahu membantu masyarakat tempatan menjana pendapatan dalam keadaan pandemik.
"Saya amat berbesar hati diberi ruang berkongsi peluang dengan orang lain khususnya buat golongan yang mungkin terjejas pendapatan," luahnya.