NAMA Ezra Kairo masih terlalu asing di arena seni. Malah pemilik nama penuh Daniel Ezra Mohd Shafiq Nickleson ini sendiri selesa berada di bawah radar arus perdana hingga kini.
Dalam erti kata lain, jejaka India Muslim berusia 19 tahun itu selesa menggelarkan dirinya sebagai penyanyi ‘underground’.
Mula aktif memuat naik lagu nukilannya di platform digital termasuk di YouTube sejak tahun lalu, Ezra mengakui mempunyai persamaan dengan penyanyi dan komposer muda, YonnyBoii.
"Sejak berada dalam tingkatan satu, saya sentiasa diejek dan dibuli. Warna kulit saya juga jadi modal usikan dan ejekan. Saya berdepan trauma yang memeritkan. Umpama diri ini tiada hati dan perasaan,” katanya.
Anak sulung daripada empat beradik ini bagaimanapun tidak terus hanyut dengan kesedihan, dia menjadikan muzik sebagai ruang berkongsi curahan isi hati.
"Muzik umpama escapisme atau cara saya bangkit melupakan apa saja yang melemahkan. Saya alihkan apa saja rasa yang tidak enak dengan muzik dan menulis lirik.
"Saya juga mula menyertai pertandingan nyanyian di sekolah. Secara rasmi saya berjinak jinak secara serius dalam nyanyian tahun lalu,” katanya.
[caption id="attachment_28893" width="1024"] Ezra mendedahkan dia menjadi mangsa buli dan ejekan sehingga membuatkan dia merasa rendah diri dan tertekan.[/caption]
Ezra sebenarnya memiliki album EP memuatkan lima buah lagu berbahasa Inggeris di Spotify sejak Februari lalu.
"Salah satu lagu yang dimuatkan dalam album EP itu berjudul Leave Me. Sampai ada kawan gelarkan saya Adele versi lelaki kerana kami masing masing menyanyikan lagu patah hati atau melara jiwa.
"Nama saya sedikit meledak Mac lalu ketika Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasa ketika mempromosikan lagu Come Thru.
"Tanpa diduga dengan bantuan dan akses dimiliki aplikasi TikTok, lagu itu diminati sampai ke Afrika Selatan, India, Brunei, Rusia, Mauritius, Maldives, Singapura dan Indonesia.
"Alhamdulillah lagu itu berkisar soal kehidupan kena diteruskan walau apa jadi termasuk gagal dalam bercinta. Lalu impian saya untuk hubungkan muzik dengan kehidupan manusia dianggap berjaya di situ,” katanya sambil memaklumkan lagu Wait For Me turut diputarkan di stesen radio Hits FM.
Pertaruh Kau Tiada
Selepas muncul dengan beberapa buah single dan EP berbahasa Inggeris, Ezra kini optimis untuk tampil dengan single bahasa Melayu pula berjudul Kau Tiada.
"Lirik lagu Kau Tiada saya tulis dalam bahasa Inggeris. Ia diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dengan bantuan kawan saya yang juga penyanyi dan peserta Big Stage, Amir Hassan.
"Lagu ini mengenai rasa kehilangan orang yang kita sayangi sudah tiada. Ia tidak hanya tertakluk kepada kekasih semata mata.
"Saya sendiri kehilangan bapa tersayang di usia tiga tahun. Saya yakin ramai yang sudah terbiasa melalui fasa kehilangan. Bukan sesuatu yang mudah, namun hidup harus diteruskan,” katanya yang masih belum terfikir menghasilkan album komersial setakat ini.
[embed]https://youtu.be/7hoYMcPyKV0[/embed]