SEORANG ibu, Azura Shahidan, 31, memberitahu SinarPlus, beliau cukup bimbang dengan transisi negatif anaknya, Adam Rezqi Hakimi, 7.
Masakan tidak, keterujaan budak tahun satu itu untuk belajar semakin merundum.
Menceritakan lebih lanjut, Azura berkata, Adam Rezqi pada awalnya sangat bersemangat menjejakkan kaki ke sekolah bersama rakan-rakan sebaya.
Bagaimanapun, selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasakan segalanya berubah.
"Cara pembelajaran pun sudah berubah, kesemuanya secara dalam talian. Pada setiap hari Isnin, Selasa dan Khamis, dia akan mengikuti kelas tuisyen secara online. Mula-mula, Adam sama sekali tidak menolak untuk mengikuti kelas berkenaan dan menunjukkan reaksi yang teruja
"Namun selepas empat kali sesi pembelajaran online dijalankan, Adam sudah mula menunjukkan perubahan. Dia kerap mengadu dirinya seperti tidak sihat (bagi mengelak menghadiri kelas)," katanya.
Ujar ibu kepada dua anak itu, lebih membimbangkannya, si kecil itu sudah pandai mengeluarkan perkataan stres apabila ditegur untuk mengulangkaji pelajaran.
Mengakui resah dengan keadaan Adam itu, Azura dan suami segera membuat janji temu bersama pakar bagi mengetahui kondisi anaknya itu.
"Selepas pemeriksaan dilakukan, doktor menjelaskan bahawa Adam mengalami stres ringan berkemungkinan disebabkan perubahan normal baru yang perlu dilalui.
"Selepas meneliti situasi anak saya, saya harap ibu bapa di luar sana peka dengan perubahan anak dan jika merasakan terdapatnya perubahan yang ketara, segeralah bantu si manja tanpa perlu berlengah lagi,” pesannya.