SELURUH negara kini dilihat giat berkerjasama dengan negara-negara yang berjaya menghasilkan vaksin Covid-19 bagi tujuan memutuskan rantaian jangkitan wabak pandemik Covid-19 termasuk negara China.
Terbaharu, Indonesia diloporkan antara negara yang terawal menerima sebanyak 1.2 juta dos vaksin Covid-19 dari China yang diterbangkan menggunakan pesawat Garuda dari Beijing.
Pesawat yang membawa kumpulan vaksin pertama ke negara Asia Tenggara itu selamat mendarat di Jakarta, Indonesia sekitar jam 9.25 malam tadi.
Presiden Indonesia Joko Widodo dalam YouTube rasmi Sekretariat Presiden berkata, Indonesia akan menerima tambahan sebanyak 1.8 juta dos lagi vaksin itu pada awal Januari 2021.
Vaksin yang dihasilkan oleh Sinovac akan mula digunakan untuk kumpulan utama seperti petugas perubatan dan pegawai perkhidmatan awam, sementara menunggu persijilan halal dan kebenaran oleh Majlis Ubat Negara.
Media tempatan sebelum ini melaporkan Indonesia menerusi Lembaga Biologi Molekuler Eijkman (LBM), badan di bawah Kementerian Riset dan Teknologi Indonesia bekerjasama dengan syarikat biofarmaseutikal dari China, iaitu Sinovac Biotech bagi melakukan penyelidikan vaksin Covid-19.
Mengikut data yang disiarkan laman Twitter rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia @BNPB_Indonesia, setakat semalam, republik itu mencatatkan sebanyak 575,796 kes positif Covid-19 dengan jumlah kematian akibat virus itu kini 17,740 orang.
Pastinya itu satu jumlah angka yang sangat besar dan merisaukan rakyat. Ternyata tindakan dan usaha yang diambil oleh kerajaan Indonesia adalah satu langkah perlu dan tepat pada masanya.