Siri animasi Ejen Ali kini di platform Tencent Video di China

Iklan
Ejen Ali - SinarPlus

PRIMEWORKS Studios dan WAU Animation mencatat satu lagi kejayaan apabila menjalinkan kerjasama strategik dengan platform penstriman video dalam talian terbesar China, Tencent Video.

Ia merupakan perjanjian perkongsian kandungan bersama CAWRO, sebuah syarikat kandungan dan jenama kanak-kanak terkemuka dan diiktiraf di China sebagai pengedar rasmi program antarabangsa dengan persetujuan membawa masuk siri animasi Ejen Ali untuk tayangan pasaran di China.

Iklan
Iklan

Ini merupakah langkah pertama Ejen Ali menembusi pasaran hiburan di China dan seperti diketahui permintaan untuk kandungan video dalam talian di platform OTT di China berkembang pesat ketika ini.

Ejen Ali muncul sebagai salah satu daripada tiga program luar negara yang meraih kedudukkan rating penonton tertinggi di platform ini dalam tempoh empat hari tayangan di Tencent Video.

Iklan

Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios dan Rangkaian Televisyen Media Prima, Datuk Khairul Anwar Salleh, berkata, berikutan sambutan positif penonton terhadap filem Ejen Ali The Movie tahun lalu, kerjasama tersebut dilihat sebagai strategi terbaik untuk mengembangkan jenamanya di peringkat antarabangsa.

"Kami merasa ini adalah masa yang tepat bagi mengorak kerjasama dengan CAWRO dalam strategi untuk mengembangkan jenama Berikutan sambutan positif penonton terhadap filem Ejen Ali The Movie tahun lalu, kami merasa ini adalah masa yang tepat bagi mengorak kerjasama dengan CAWRO dalam strategi untuk mengembangkan jenama Ejen Ali ke peringkat antarabangsa ke peringkat antarabangsa.

Iklan

"Sudah sampai masa untuk animasi terbitan anak Malaysia seperti yang dihasilkan oleh rakan kreatif kami, WAU Animation untuk bergerak lebih jauh, mendapat lebih banyak peluang dan perhatian antarabangsa.

"Ini selaras dengan komitmen kami untuk membawa hanya kandungan terbaik Malaysia ke peringkat dunia dan secara tidak langsung memperkenalkan perniagaan pelesenan dan jenama di rantau ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation, Usamah Zaid Yasin pula menyifatkan perkembangan itu langkah terbaik untuk mereka mengembangkan sasaran penonton baharu di peringkat antarabangsa.

"Kami berharap siri Ejen Ali dapat diterima dengan baik oleh pengguna Tencent Video di China.

"Tentu sekali impian kami adalah untuk membawa Ejen Ali The Movie ke layar filem di sana.

"Sekarang negara dan industri hiburan bergerak ke tahap pemulihan daripada pandemik Covid-19, harapan kami agar impian ini akan menjadi kenyataan suatu hari nanti,"katanya.

Ejen Ali mengisahkan mengenai seorang budak lelaki bernama Ali yang secara tidak sengaja terlibat dengan alat perisik, IRIS, milik agensi pengintipan, MATA. Akibat mengetahui terlalu banyak akan rahsia MATA, Ali direkrut sebagai ejen rahsia.

Siri animasi Ejen Ali mula disiarkan di TV3 pada tahun 2016 dan sepanjang siarannya, siri ini juga turut disiarkan di lebih 50 negara di Asia Tenggara, Timur Tengah, Afrika Utara, benua India dan Amerika Utara.

Populariti siri Ejen Ali ini juga telah menyakinkan pihak produksi menghasilkan tiga permainan bagi alatan mudah alih yang yang telah meraih lebih dari 7,000,000 juta muat turun sehingga kini menerusi aplikasi di Apple App Store dan Google Play Store.

Kejayaan siri ini seterusnya direalisasikan oleh kutipan box-office melalui filem Ejen Ali The Movie yang dilancarkan pada Disember 2019, telah meraih kutipan pecah panggung sebanyak USD8 juta di layar perak dan platform on-demand di Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia, menjadikannya filem animasi terlaris di Malaysia.

Siri Ejen Ali mula bersiaran di Tencent Video China bermula dari 1 Disember lalu dan dialih bahasa kepada bahasa Mandarin dalam usaha menarik minat penonton di China khususnya kanak-kanak.

(FOTO: Primeworks Studios)