ZAINAL HUSSIN, 57, sudah hampir dua tahun berhadapan masalah buasir.
Katanya kepada SinarPlus, pada awalnya, beliau tidak menyangka akan diserang penyakit berkenaan.
Masakan tidak, lelaki itu mengaku, dirinya seorang yang sangat aktif bersukan dan bersenam.
"Kalau ditanya, saya seorang yang gemar makan makanan yang pedas dan pada masa sama, jarang makan buah-buahan. Bukan itu sahaja, saya juga ‘memilih’ ketika disuruh untuk makan sayur-sayuran," ujarnya.
Di Malaysia, tiada statistik khusus berapa ramai pesakit mengalami masalah berkenaan.
Namun, menerusi laman web perubatan di Amerika Syarikat (AS), https://www.ncbi.nlm.nih.gov, pada setiap tahun, seramai 10 juta penduduknya yang berusia dalam lingkungan umur 45 hingga 65 tahun dilaporkan berdepan dengan penyakit buasir.
Bagi menghuraikan mengenai penyakit berkenaan, SinarPlus mendapatkan pandangan Pegawai Perubatan, Klinik Ajwa Shah Alam, Dr Arisman Wenge Abdul Rahman.
[caption id="attachment_29905" width="1024"] Dr Arisman.[/caption]
Dr Arisman berkata, penyakit buasir sebenarnya boleh dialami oleh mana-mana individu tidak mengira peringkat umur.
"Hampir tiga daripada empat orang dewasa akan pernah mengalaminya (buasir), bahkan bayi juga boleh terkena, namun kes seumpama itu sangat jarang dijumpai,” beritahu beliau.
Memberi definisi ringkas, katanya, buasir (hemorrhoid) adalah saluran darah yang membengkak di dalam rektum (internal hemorrhoid) atau di bawah kulit di sekitar dubur (external hemorrhoid).
"Seperti yang saya katakan tadi, masalah buasir boleh menyerang sesiapa pun tidak kira jantina, lelaki atau perempuan. Ia sangat dipengaruhi oleh gaya hidup seseorang atau penyakit yang mendasarinya, misalnya tumor pelvis.
"Namun demikian, yang membezakan keadaan itu adalah pesakit lelaki terutamanya, gagal menerima rawatan pada peringkat awal. Mereka hanya akan datang berjumpa doktor untuk membuat pemeriksaan setelah berada pada kondisi teruk," jelasnya sambil mengingatkan bahawa risiko buasir akan semakin meningkat seiring dengan pertambahan usia.
Punca, diagnos
Apakah punca di sebalik penyakit berkenaan? Menjawab pertanyaan tersebut Dr Arisman memaklumkan, tanda dan gejala buasir adalah tidak terlalu spesifik, tetapi biasanya bergantung pada jenis buasir iaitu:
i) Jenis buasir luaran (External hemorrhoid).
Ia melibatkan bengkak di sekitar dubur, gatal atau iritasi, kesakitan atau ketidakselesaan (secara tiba-tiba) pada benjolan terutama apabila ketika duduk, baring atau berdarah, namuan tidak berasa sakit.
ii) Jenis buasir dalaman (Internal hemorrhoid).
Ia tidak dapat dilihat atau dipegang dan jarang menimbulkan rasa sakit. Buasir juga boleh berlaku akibat perbuatan meneran ketika sedang membuang air besar. Perilaku itu boleh menyebabkan pendarahan sehingga boleh menonjol keluar sehingga mengakibatkan seseorang rasa sakit.
Dr Arisman menambah, terdapat beberapa alasan terjadinya buasir, tetapi kebanyakan penyebabnya tidak diketahui secara jelas.
"Buasir kerap dikaitkan (risiko) dengan aktiviti urat di sekitar dubur yang cenderung meregang jika ada tekanan dan akan secara tidak langsung akan mengakibatkan bengkak atau mengembang,” katanya.
Pada masa sama, buasir juga boleh dipengaruhi dengan beberapa situasi, antaranya:
i) Meneran semasa buang air besar.
ii) Duduk untuk jangka masa yang lama.
iii) Mengalami cirit-birit atau sembelit yang kronik.
iv) Obesiti.
v) Mengandung.
vi) Kurang pengambilan makanan tinggi serat.
vii) Melakukan kerja berat, misalnya mengangkat beban yang berat.
"Apa-apapun, pertama sekali, individu yang mengalami tanda-tanda seperti buasir seperti yang saya katakan tadi perlu segera ke klinik atau hospital berjumpa dengan doktor.
"Ia adalah untuk memastikan diagnosis yang tepat dilakukan dan sekali gus pakar boleh menjalankan rawatan yang bersesuaian bagi menghindari komplikasi berikutnya,” katanya.
Menjawab kepada satu soalan lain, Dr Arisman berkata, lazimnya, pakar terlebih dulu akan bertanya kepada pesakit tentang sejarah penyakit pesakit dan tanda-tanda yang dialami sekarang sebelum memulakan pemeriksaan pada kawasan luar dubur.
Kemudian, doktor akan melakukan digital rectal examination iaitu memasukkan jari doktor ke dalam lubung dubur dan seterusnya pemeriksaan proctoscopy dengan menggunakan alat proctoscope untuk melihat benjolan dan kedudukannya.
"Ia sangat penting bagi membezakan benjolan buasir dengan penyakit dubur yang lain seperti kanser kolorektal. Seusai itu, jika doktor berjaya mengenal pasti benjolan itu adalah buasir, maka penting untuk doktor mengenal pasti kategori buasir pesakit dan penentuan tahapnya," katanya.
Klasifikasi tahap tersebut terbahagi kepada empat cabang iaitu:
i) Tahap 1: Benjolan kekal di dalam rektum.
ii) Tahap 2: Benjolan sehingga keluar dubur waktu buang air besar dan masuk semula dengan sendirinya.
iii) Tahap 3: Benjolan sehingga keluar dubur dan perlukan jari untuk masukkannya semula (manual reduction).
iv) Tahap 4: Benjolan atau bengkak kekal nampak di luar dubur (irreducible).
Kaedah rawatan
Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Kodiang, Kedah, Dr Mohamad Suaidi Mohamad Sazali turut melontarkan pandangannya.
[caption id="attachment_29906" width="1024"] Dr Mohamad Suaidi.[/caption]
Ujar beliau, hampir 40 peratus pesakit yang mempunyai buasir adalah tidak bergejala.
"Kebanyakan mereka yang tidak bergejala boleh sembuh dengan konservatif atau dengan ubat. Selain itu, mereka perlu mengubah gaya hidup kepada yang lebih aktif dan sihat,” ujarnya.
Berkongsi pengalamannya bersama SinarPlus, Dr Mohamad Suaidi memberitahu, kebanyakan kes di klinik swasta sekarang adalah lebih kepada pesakit yang mahukan kepastian diagnosis kerana berdarah (sekali atau dua kali) ketika membuang air besar dan terasa benjolan di luar kawasan dubur.
Sehubungan itu, terdapat dua rawatan yang disyorkan oleh pakar perubatan iaitu:
i) Rawatan bukan pembedahan.
- Pihak klinik atau hospital lazimnya akan memberi ubat buasir iaitu daflon, ubat untuk lawas berak dan gel sapu untuk mengurangkan rasa sakit dan gatal.
"Jika pesakit mengalami masalah buasir dalaman (internal hemorrhoid) tahap 1 dan 2 yang simptomatik, ia dapat diatasi dengan kaedah rubber band ligation (RBL),” jelas Dr Mohamad Suaidi.
ii) Rawatan pembedahan.
- Kira-kira 5 peratus pesakit dengan buasir akhirnya memerlukan pembuangan benjolan buasir atau hemorrhoidectomy.
- Kaedah itu kata Dr Mohamad Suaidi, akan disarankan sekiranya pesakit mengalami gejala dan tidak bertindak balas terhadap terapi konservatif, terutamanya mereka yang sudah didiagnos pada tahap 3 dan 4.
Siapakah kelompok yang perlu membuat pemeriksaan buasir dengan segera? Mereka terdiri daripada:
i) Individu yang berumur 40 tahun ke atas.
ii) Individu yang merokok.
iii) Mereka yang berak berdarah yang tidak sakit.
iv) Terdapatnya ketulan atau tidak selesa di dalam perut.
v) Mereka yang mempunyai sejarah keluarga yang mempunyai barah usus besar.
vi) Mereka yang membuang najis dalam keadaan tidak teratur atau luar biasa daripada kebiasaan (selalu cirit-birit dan sembelit).
vii) Individu yang susut berat badan tanpa punca yang jelas.
ANEKDOT
BERIKUT adalah panduan mengelak buasir dengan mengurangkan simptom-simptomnya:
1) Amalkan pemakanan yang sihat iaitu lebihkan makanan berserat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran.
2) Minum air dengan secukupnya kerana air yang cukup boleh mengelakkan najis menjadi keras.
3) Turunkan berat badan dengan mendapatkan berat badan yang ideal melalui senaman dan juga pemakanan.
4) Melakukan senaman ringan.
5) Elakkan pengambilan ubat melawas air besar (julap) secara berlebihan yang akan menyebabkan buasir semakin teruk.
6) Elakkan sembelit.
7) Pengambilan ubat tahan sakit secara berkala atas nasihat doktor boleh membantu mengurangkan kesakitan.
Sumber: Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Kodiang, Kedah, Dr Mohamad Suaidi Mohamad Sazali