BETUL kata orang, anak-anak cerminan ibu bapa. Mana tidaknya, setiap pergerakan kita setiap hari diperhatikan oleh mata-mata kecil itu.
SinarPlus percaya semua ibu bapa pastinya mengharapkan anak-anak menjadi insan yang baik dan berguna.
Bukan hanya cemerlang dalam pelajaran sahaja tetapi turut memiliki sahsiah diri yang terbaik.
Lebih-lebih lagi kepada anak lelaki yang banyak tanggungjawab menanti.
Oleh itu, bapa perlulah berkelakuan lebih ‘elok’ di hadapan mereka.
Menurut Dr Redza, ini lima perkara yang anak lelaki belajar daripada ayahnya sebelum usia remaja;
1. Anak lelaki belajar tentang kasih sayang dalam keluarga dari ayahnya.
Mereka lihat dan meniru cara ayah menyayangi ibu dan adik beradik yang lain. Mereka suka bila melihat ayah memuji, menyentuh lembut dan memberi bahagia pada si ibu.
2. Anak lelaki suka buat aktiviti fizikal bersama ayahnya.
Memeluk dan bergusti dengan ayah lebih bernilai berbanding duduk mengadap gajet seharian.
Kanak-kanak usia dua hingga lima tahun sangat suka dengan"Rough and Tumble Play”.
Mereka akan menepuk, mencucuk dan memukul orang dewasa dalam keadaan yang tak menyakitkan.
Anak akan belajar sempadan antara pukulan selamat dan tak selamat.
Baca juga Berkebun suka-suka di rumah, rupanya ini yang akan anda dapat
3. Anak lelaki belajar berhujah dengan ayahnya.
Walaupun tak sependapat, hujahnya tak menghina sesiapa.
Anak lelaki akan belajar, lelaki boleh berhujah dengan tenang tanpa menyakiti wanita.
Dalam keadaan penuh emosi, lelaki tetap tekun mendengar dan memberi hujah.
4. Anak lelaki belajar meluahkan perasaan dengan memerhati ayahnya.
Penting untuk anak melihat si ayah merasa sedih, marah, gembira dan takut.
Yang lagi penting ialah untuk anak lelaki melihat cara si ayah mengawal diri ketika dirinya penuh dengan emosi.
Kesilapan si ayah ialah dia meluahkan dengan rasa marah ketika dia takut atau sedih. Inilah yang akan ditiru oleh anak.
5. Anak lelaki belajar buat kerja rumah dari ayahnya.
Didik anak lelaki sifat rajin terutamanya dalam membuat kerja rumah kerana itu cara terbaik untuk mereka menjadi suami yang memahami beban kerja seorang isteri.
Selain itu, hubungan anak lelaki dengan ayah sepatutnya penuh dengan kasih sayang dan bukan diisi dengan ketakutan.
Didiklah mereka sebaiknya agar menjadi insan bertanggungjawab suatu hari nanti.