SELEPAS mendirikan rumah tangga dan kemudiannya bergelar ibu, kelibat pelakon popular Elfira Loy kini jarang kelihatan di kaca TV sebagaimana ketika aktif membina namanya dalam industri.
Bukan tidak lagi berminat pada dunia lakonan yang mula diceburinya sejak zaman kanak-kanak, tetapi pemilik nama penuh Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri, 26, kini banyak menumpukan perhatian kepada rumah tangga.
Apatah lagi pada ketika pandemik Covid-19 melanda dunia dan negara, ibu kepada seorang cahaya mata lelaki, Muhammad Rayyan Khalaf itu, 1, merasa lebih selamat di di rumah.
"Buat masa ini saya lebih selesa menghabiskan masa di rumah memberi sepenuh perhatian menjaga anak.
"Mendengar kes Covid-19 semakin meningkat saban hari, jujur saya takut dan curiga dengan apa saja kemungkinan.
"Sampai satu tahap, saya bimbang jika lalai dan tersilap langkah dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP), ia akan memudaratkan diri, anak, suami dan orang terdekat.
"Kalau boleh saya tak nak lama lama berada di luar, namun pastinya saya juga ada terlibat dengan aktiviti di luar berkaitan urusan kerja,” katanya.
Bercerita tentang kehidupannya kini, Elfira berkata, dia semakin seronok dengan rutin hariannya sebagai seorang ibu yang dapat menyaksikan anak membesar di depan mata.
"Anak saya kini dah boleh berjalan dan berdiri. Saban hari, ada saja keletahnya yang mencuit hati.
"Saya berkongsi apa saja detik atau momen indah fasanya bertambah umur di Instagram.
"Boleh dikatakan anak saya ini, 'baby' Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana dia tidak berjumpa dengan orang di luar dan masanya banyak di rumah kerana saya tidak mahu ambil risiko.
"Dia seorang yang 'happy go lucky' dan gemar tersenyum, tetapi kalau ada orang datang rumah, dia susah nak mendekati dan ambil masa untuk jadi mesra,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Elfira turut berkongsi baru sahaja dilantik sebagai duta pelitup muka jenama Himaya untuk wanita bertudung, selama setahun.
Jelas pelakon Biar Mimpi Sampai Ke Bintang itu lagi, pelitup muka kini bukan hanya keperluan, tetapi ia juga seperti satu tanggungjawab kepada semua orang.
"Suka atau tidak, kita kena biasakan norma baharu ini. Kegagalan mematuhi SOP terutamanya memakai pelitup muka di tempat awam, bukan hanya memberi kesan kepada diri sendiri, tapi orang sekeliling juga.
"Saya sedih apabila ada segelintir orang ambil mudah soal ini. Jadi mungkin dengan pelantikan sebagai duta pelitup muka ini, sedikit sebanyak dapat memberi galakan kepada orang ramai,” akhirinya.
(FOTO: Himalaya)