KEMALANGAN langgar lubang ketika berbasikal yang menimpa Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI), Khairy Jamaluddin Abu Bakar sehingga hari ini masih hangat diperkatakan walaupun kejadian itu telah berlaku pada Ahad lalu.
Tambahan pula sejak Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia memberi respon terhadap kejadian tersebut dan jalan yang rosak itu telah diturap dengan serta merta membuatkan warganet lantang menyuarakan pandangan masing-masing terhadap isu yang hampir sama pernah berlaku sebelum ini.
Oleh demikian, JKR Malaysia juga memaklumkan pihaknya mengambil serius komen-komen netizen di media sosial mengenai respon jabatan terhadap aduan-aduan yang diterima melibatkan isu jalan rosak dan berlubang.
Ketua Pengarahnya, Datuk Ir. Mohamad Zulkefly Sulaiman berkata, JKR sentiasa melakukan yang terbaik dalam memantau keadaan jalan raya di seluruh negara dan setiap aduan yang diterima menjadi keutamaan jabatan dalam memastikan pengguna jalan raya berada dalam keadaan selamat dan selesa.
JKR mengamalkan konsep no wrong door policy dan mempunyai 11 saluran aduan, antaranya adalah seperti :
- Web aduan JKR Care (aduan.jkr.gov.my)
- Telefon
- SISPAA (kkr.spab.gov.my)
- Emel Aduan (jkr@1govuc.gov.my)
- Emel Komunikasi (jkr@1govuc.gov.my)
- Akhbar
- Lisan (Hadir terus ke pejabat JKR)
- Biru Pengaduan Awam (pcb.spab.gov.my)
- Surat
- Mygcc
- Respons Rakyat (apps Biro Pengaduan Awam)
Tambah kenyataan itu, beliau berterima kasih kepada semua Jurutera Daerah dan pentadbir laman media sosial JKR di seluruh negara yang responsif terhadap setiap aduan yang diterima.