SEKITAR tahun 1990-an, sukan gusti seperti WWF dan WWE menjadi antara rancangan yang cukup digilai ramai.
Nama-nama seperti The Rock, John Cena, The Undertaker, Rey Mysterio, The Big Show, Kane, Hugh Hogan dan ramai lagi menjadi sebutan ramai kerana aksi hebat mereka di gelanggang.
Biarpun sukan gusti tidak lagi sehangat dahulu, namun ia tidak menjadi penghalang buat penggemar sukan itu meneruskan legasi gusti di Malaysia dan melahirkan individu hebat seperti gadis genit berhijab yang menggunakan nama gelanggang Nor ‘Phoenix’ Diana dan Ayez Shaukat Fonseka yang dikenali Undertaker Malaysia.
Justeru bagi menyemarakkan lagi sukan gusti di Malaysia, APAC Wrestling bersama Lomo Pictures Sdn Bhd dan rakan penaja Quick Sent serta Quin Media membawakan sukan gusti ke dalam filem Gila Gusti.
Tidak hanya mengetengahkan sukan itu semata-mata, filem itu turut disuntik dengan elemen persahabatan dan kekeluargaan.
Bakal diarahkan oleh pengarah Silver Chung, filem itu akan menampilkan gandingan pelakon seperti Syafie Naswip, Elizabeth Tan dan Instafamous, Aisar Khaledd. Selain itu, ia turut menyaksikan pembabitan Ayez Shaukat Fonseka dan Nor ‘Phoenix’ Diana buat pertama kali di layar perak.
[caption id="attachment_31778" width="1024"] Nor 'Phoenix' Diana, gadis hijab pertama menceburi bidang sukan gusti secara profesional.[/caption]
Gila Gusti secara ringkas mengisahkan dua orang sahabat, Mamat dan Zul, obses terhadap gusti dan mengidolakan seorang ahli gusti bernama Naga.
Apabila Naga tewas dalam perlawanannya dan patah semangat untuk terus bergusti, Mamat dan Zul nekad untuk membantu idola mereka mencari semula semangat yang hilang demi memenangi semua kejuaraan gusti Asia Pasifik.