PENYAMPAI radio, Abby Fana meminta maaf kerana tidak memaklumkan hari terakhir bersama Sinar FM, 31 Disember lalu lebih awal.
Menurut Abby atau nama sebenarnya Habsah Omar, 54, dia tidak tahu bagaimana untuk berkongsi perkara itu.
Beliau yang selesa membahasakan dirinya sebagai Kak Bed dengan pendengar berkata, dia bukannya berhenti mahupun bersara, sebaliknya kontrak bersama stesen radio itu tidak disambung.
"Saya rasa ramai yang dah tahu bahawa 31 Disember 2020 adalah hari terakhir saya bersama Sinar FM.
"Ramai yang bertanya kenapa berhenti? Bersara ke? Bua tapa selepas ini? Jadi saya jawab secara ringkas sahaja.
"Saya tidak berhenti atau bersara, cuma kontrak tidak disambung. Tetapi tidak perlulah saya menjawab bagi pihak atasan mengapa kontrak tidak disambung.
"Saya rasa sudah tiba masanya saya memberi laluan kepada penyampai radio yang lebih fresh, mempunyai idea yang baharu.
"Sebab 14 tahun lalu ketika saya menyertai Sinar, seseorang terpaksa kosongkan tempat itu untuk saya.
"Itulah lumrah kehidupan, setiap permulaan adakah pengakhiran, setiap pertemuan pasti ada perpisahan,” ujarnya.
[caption id="attachment_32035" width="1024"] Abby Fana membuat penjelasan itu menerusi Instagram miliknya.[/caption]
Tambah Abby, beliau berharap ukhwah yang terjalin diantaranya dan pendengar dapat diteruskan sampai bila-bila.
"Saya mohon ampun dan maaf andai anda yang terguris hati dengan saya, jika gurauan terkasar. Maklumlah saya manusia biasa.
"Saya juga terharu dengan reaksi ramai orang dan ada yang terkejut sebab maklumlah saya ini penyampai yang biasa-biasa.
"Namun begitu saya nak anda tahu, yang saya rasa amat dihargai dan terharu. Terima kasih atas sokongan anda selama 14 tahun di Sembang Sinar dan mereka yang terlebih dahulu bersama saya di THR.
"Secara keseluruhan sudah 20 tahun saya berada dalam dunia penyampaian radio,” ujarnya.