KANAK-KANAK hari ini kebiasaannya menghabiskan sebahagian besar masa dengan bermain.
Bermain penting bagi pertumbuhan dan perkembangan mereka kerana ia membabitkan pembelajaran yang membantu pembangunan kemahiran hidup penting dalam setiap kanak-kanak.
Namun, lain pula kisah seorang kanak-kanak berumur enam tahun yang dikenali sebagai Yasmin Saman Ahmad yang menzahirkan rasa prihatin mengenai perjuangan petugas perubatan dalam melawan wabak Covid-19 dengan menyerahkan duit tabung miliknya untuk disumbangkan bagi membeli Alat Perlindungan Diri (APD).
Seperti apa yang dilaporkan oleh TribunMakassr.com Yasmin dilihat ditemani oleh ibunya, Mardiana Rusli ke sebuah organisasi kemanusiaan di Kota Makassar, Indonesia membuat kiraan duit tabung simpanannya untuk didermakan.
Tabung miliknya yang berbentuk ikan itu tersimpan sejumlah wang sebanyak Rp448.800 bersamaan RM120.
"Bantuan ini untuk doktor dan petugas perubatan di hospital untuk membeli APD,” kata Yasmin penuh optimis selepas menyerahkan hasil tabungan kepada wakil organisasi berkenaan Sabtu lalu.
Menurut Mardiana, dia menunaikan hasrat Yasmin apabila anaknya tergerak hati untuk menderma selepas melihat keadaan barisan hadapan yang kekurangan APD termasuk baju, topeng muka dan sebagainya.
Tambah Mardiana lagi, dia telah mendidik anaknya untuk menabung dan selepas dua tahun hasilnya akan diperuntukkan untuk bantuan sosial walau berapa jumlah sekalipun yang terkumpul.
Keinginan Yasmin menyerahkan jumlah wang tabung simpanannya untuk didermakan sepenuhnya juga merupakan kerelaan hatinya sendiri.
Sungguh mulia hati anak kecil ini. Benar kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya!
Sinar Plus percaya perbuatan Yasmin Ini patut diberi penghargaan. Yasmin di usia yang sangat muda sudah mengambil berat mengenai erti kemanusiaan.
Diharap kita juga mampu contohi sifat keperibadian Yasmin. #juststayathome #janganputusasamalaysia