GARA-GARA menonton sebuah filem pengembaraan angkasa lepas sekitar tahun 2005 membuatkan pelajar berasal dari Klang yang dikenali sebagai Vanmitha Athimoolam memasang impian untuk meneroka angkasa lepas satu hari nanti.
Filem yang ditonton Vanmitha bertajuk Zaruthra adalah filem angkasa lepas pertama yang ditontonnya pada ketika itu dan dia sangat kagum apabila melihat bagaimaan rupa angkasa lepas.
Sejak itu, Vanmitha telah memasang impian untuk melihat kehidupan di luar bumi.
Memetik laporan portal tempatan, kini, Vanmitha dalam usaha untuk mencapai impiannya.
Langkah awal yang dibuat adalah menyertai sebuah pertandingan Kerjaya Angkasawan di peringkat global dan berharap menjadi satu-satunya rakyat Malaysia yang terpilih untuk program lima tahun, di mana empat pemenang akan dipilih untuk penerbangan"suborbit”.
Menurut sumber, Vanmitha, 20, pelajar kejuruteraan aeroangkasa, merupakan finalis dalam pertandingan itu, anjuran syarikat Amerika Syarikat, Advancing X dan seperti tahun lalu, hanya 18 pemohon sahaja diterima.
Namun, Vanmitha hanya perlu menghadiri satu temuduga lagi dan sekiranya diterima, beliau perlu berpindah ke Amarika Syarikat Julai ini untuk menjalani latihan intensif selama lima tahun bagi menguji ketahanan fizikal dan mentalnya.
Jika berjaya, Vanmitha mungkin akan menjadi angkasawan negara seterusnya mengikut jejak Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha. Siapa sangka bukan?
Tambahan pula pelajar jurusan kejuruteraan aeroangkasa itu sangat serius dan mempunyai minat yang sangat tinggi dalam penerokaan angkasa lepas sejak kecil.
Vanmitha masih ingat kali pertama beliau memberitahu ibu bapanya tentang cita-cita menjadi angkasawan beberapa tahun lalu.
Mereka menganggapnya sebagai satu"fasa”, yang dilalui kebanyakan kanak-kanak sebelum menyedari kesukaran untuk merealisasikannya.
Vanmitha juga tidak pasti sama ada beliau boleh sampai ke angkasa seperti Dr Sheikh Muszaphar. Tambahan pula Vanmitha juga mempunyai ramai pengkritik.
Katanya, beliau kecewa selepas mengetahui NASA hanya menerima warganegara AS pada 2017, tempoh yang mana beliau pernah memikirkan untuk melepaskan cita-citanya menjadi angkasawan.
Vanmitha Athimoolam hanya selangkah daripada program latihan yang akan memilih empat peserta untuk penerbangan ‘suborbital’.
Vanmitha menganggap setiap halangan yang dihadapi kini sebagai pengalaman untuk belajar dan terus mengejar impiannya dengan sokongan keluarga.
Sebagai wanita muda dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), beliau berharap wanita tempatan yang lain akan mengikuti jejaknya supaya jantina mereka tidak perlu menjadi halangan tambahan untuk menggapai impian.
Sumber : freemalaysiatoday