PELAKON Natasha Hudson enggan mengambil pusing kecaman yang dilemparkan warganet terhadap penampilannya yang mengenakan pakaian yang dikatakan tidak bersesuaian dengan imej bertudungnya.
Natasha atau atau nama penuhnya Natasha Liana Hudson, 38, memakai busana putih yang kelihatan seperti mendedahkan sebahagian bahunya ketika hadir ke majlis pelancaran produk Crystal C White yang turut menyaksikan dirinya dilantik sebagai duta produk tersebut bersama pelakon Keith Foo di Menara Kuala Lumpur, pada Selasa.
Menjelaskan situasi tersebut, Natasha berkata, konsep dan penampilannya untuk majlis tersebut ditentukan sepenuhnya oleh pihak penganjur.
Bagaimanapun, jelasnya, dia tidak ada masalah dengan pakaian tersebut, sebaliknya tertanya-tanya apa yang tidak kena dengan busana putih terbabit sehingga mengundang kecaman ramai.
"Saya tidak peduli dengan kecaman orang kerana mereka di luar sana tidak faham dengan kerja kita.
"Apa yang tidak kena dengan baju ini? Bahagian yang dikatakan mendedahkan bahu itu sebenarnya berlapik kain, cuma ia menggunakan warna kulit,” jelasnya.
Mempertahankan pendiriannya, kata Natasha lagi, penampilan itu bersesuaian dengan tema glam yang ditetapkan penganjur, sekali gus menyaksikan penampilan yang sedikit berbeza daripadanya.
"Ini bukan pelancaran kedai mamak, tetapi pelancaran produk. Mungkin mereka dah lama tak tengok saya pakai macam ini menyebabkan timbulnya pelbagai spekukasi.
"Kalau nak layankan kecaman, sampai bila pun tidak akan habis kerana orang tidak akan berhenti bercakap mengenai kita. Pakai tudung atau tidak, berniqab atau sebaliknya dan dan lain-lain.
"Jadi saya tidak ambil pusing cakap-cakap orang, apatah lagi melayan kecaman yang diberikan kerana bukan mereka yang bagi saya makan,” ujar Natasha.
Bintang filem Chermin itu sebelum ini, mengundang perhatian warganet apabila pernah tampil dengan imej berniqab sebelum ini.
Terdahulu Natasha juga sensasi dengan kisah kegagalan rumah tangganya yang membawa kepada perceraian, termasuk kali terakhir pada Oktober 2019 apabila dia mengesahkan perkahwinan kali keempatnya dengan seorang ahli perniagaan turut tidak dapat diselamatkan.
(FOTO: Asril Aswandi Shukor)