Tinggalkan kisah lalu, Natasha Hudson kembali ke pangkuan industri

Iklan
Natasha Hudson

SELEPAS melalui fasa kesuraman dalam kehidupan berumah tangga yang banyak mengajarnya erti kehidupan, pelakon Natasha Hudson kembali bangkit mencari kebahagian buat diri dan anak-anaknya.

Meninggalkan jauh segala cerita lalu, pemilik nama lengkap Natasha Liana Hudson, 39, mahu menjadikan 2021 sebagai tahun mengejar impian dan memberi tumpuan kepada minat serta kerjaya.

Iklan
Iklan

Jika sebelum ini, bintang filem Chermin itu berehat seketika daripada dunia seni demi memberikan tumpuan pada rumah tangga, kini bersedia kembali kepada industri.

"Sepatutnya pada hujung tahun lalu, saya sudah memulakan penggambaran filem baharu terbitan produksi dari Indonesia, namun ia terpaksa ditangguhkan kerana pandemik Covid-19.

Iklan

"Jadi saya masih menunggu perkembangan terbaru daripada pihak produksi dan dalam masa sama terbuka menerima tawaran daripada produksi tempatan juga.

"Sebelum ini ada beberapa tawaran terpaksa ditolak kerana faktor masa di mana ketika itu saya agak sibuk dengan kerja lain.

Iklan

"Bagaimanapun, saya harap selepas ini ada tawaran bersesuaian, apatah lagi peminat pun ramai tanya bila nak kembali berlakon macam dulu,” katanya kali terakhir berlakon menerusi filem Mamak Cupcake pada 2014.

Dalam pada itu, Natasha ditemui ketika majlis pelancaran produk kesihatan Crystal C White yang turut menyaksikan dirinya dilantik sebagai duta produk berkenaan baru-baru ini juga memasang tekad untuk sentiasa mengimbangi apa sahaja yang dilakukan dalam hidupnya.

"Alhamdulillah saya kembali bersemangat untuk melakukan perkara-perkara yang disukai dalam hidup saya.

"Cuma kali ini saya nak seimbangkan apa yang dibuat itu dengan keperluan-keperluan lain dalam hidup.

"Dalam pada sibuk dengan kerjaya, perniagaan dan sebagainya, saya juga mahu buat sesuatu yang boleh menyenangkan emosi menerusi benda-benda yang saya minat.

"Antaranya kembali berkarya yang begitu sebati dengan diri. Mudah-mudahan ada rezeki untuk saya lakukan semua itu dalam tahun 2021 ini,” katanya.

Aktif sukan memanah berkuda

Tidak hanya itu, Natasha juga aktif dalam sukan memanah berkuda yang diceburi lebih setahun lalu.

Sukan lasak yang pada awalnya dilakukan atas dasar hobi, kini menjadi sebaliknya apabila Natasha semakin serius mendalami sukan itu.

"Sukan memanah berkuda ini bukanlah sesuatu yang baharu di Malaysia, cuma ramai tidak perasan atau ambil tahu.

"Jadi bila saya menceburi sukan ini, secara tidak langsung dapat beri pendedahan dan menarik minat orang untuk tahu.

"Sejak aktif dalam liga, saya banyak menyertai pertandingan dalam dan luar negara. Malah, kami juga mendapat jemputan beraksi di Jepun, Turki dan sebagainya.

"Bagaimanapun disebabkan pandemik, banyak perancangan tertangguh dan acara tidak dapat dijalankan,” katanya turut berkongsi ilmu dan pengalaman dalam bidang itu kepada bakat-bakat baharu.

Menyentuh tentang kehidupan peribadinya yang kini kembali berstatus solo, ibu tunggal kepada tiga anak perempuan itu berkata, dia gembira dengan apa dimilikinya kini.

Setelah empat kali melalui kegagalan dalam rumah tangga, Natasha mengakui pernah berasa serik untuk kembali bergelar isteri.

Baginya adalah lebih baik untuk dia jalani hari-hari baharu untuk mengubati segala kedukaan lalu dan kembali mengumpul semangat menjalani kehidupan lebih baik bersama anak-anaknya iaitu Neesa Helena, Naeema Kalila dan Faatimah.

"Saya tidak bersedia dan tidak ada masa untuk fikir tentang perkahwinan lagi. Cukuplah semua itu. Apa yang pasti, saya gembira dengan kehidupan sekarang.

"Tidak dinafikan ada yang cuba mendekati, malah lebih mengejutkan ada juga wanita melamar saya untuk dijadikan madu. Lucu, tetapi itulah yang berlaku.

"Bagaimanapun, menerusi pelbagai pengalaman dilalui sebelum ini, saya tidak mahu lagi meletakkan high expectation kepada sesiapa pun kerana hakikatnya tiada manusia sempurna, termasuk saya.

"Cuma jika ada yang mahu bersama saya, orang itu perlu menerima saya seadanya, masa lalu saya dan keluarga saya,” tegasnya.

 

(FOTO: Rosli Talib)