SEPERTI ramai sedia maklum, akibat daripada penularan wabak Covid-19, penguatkuasaan PKP telah mengakibatkan orang ramai dihalang daripada melakukan aktiviti berkumpul beramai-ramai secara terbuka di tempat awam termasuk berniaga.
Perkara tersebut pastinya merunsingkan ramai pihak tambahan pula tidak lama lagi umat Islam bakal menyambut kedatangan Ramadan dan berpuasa mengikut tuntutan Rukun Islam ketiga.
Setiap kali Ramadan, pastinya bazar menjadi destinasi atau aktiviti yang tidak akan dilepaskan pada setiap hari bermula 5 petang hingga menjelang waktu berbuka puasa.
Namun, tahun ini mungkin akan berlaku perubahan besar yang mana sehingga kini, beberapa negeri antaranya Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sendiri mengambil inisiatif membatalkan operasi bazar Ramadan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
Jadi, bagaimana orang ramai ingin membeli juadah?
Tenang! Kini era serba canggih. Semua mampu dilakukan hanya di hujung jari!
Sinar Plus mendapati akhbar tempatan telah melaporkan yang mana Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM) akan membangunkan platform e-bazar Ramadan kepada ahlinya bagi memberi peluang mereka berniaga dalam talian sebagai persediaan susulan penularan wabak Covid-19.
Melalui platform ini, akan diwujudkan rangkaian penghantaran dalam kalangan ahli juga untuk mengurangkan kos.
Menurut laporan tersebut, sehingga kini permintaannya tinggi dan mereka akan melaksanakan dulu di bahagian Wilayah Persekutuan.
Tinjauan Sinar Plus di laman Facebook mendapati lebih 10 kawasan khususnya di Lembah Klang dan Selangor sudah mengambil langkah proaktif dengan mencipta akaun kumpulan sendiri antaranya ‘Bazar Ramadhan Online Ampang 68000’; ‘Bazaar Ramadhan Online Wangsa Maju’, ’Bazar Ramadhan OTK Puchong Prima; Bazar Ramadhan Bandar Puteri Puchong; Bazar Ramadhan Putra Perdana Puchong, Bazar Ramadhan Pantai Dalam, Bazar Ramadhan Putra Height, Bazar Ramadhan Alam Megah, Bazar Ramadhan Saujana Utama; Shah Alam Bazaar Ramadhan Online 2020 dan banyak lagi.
Sementara di Bazaar Ramadhan Online Wangsa Maju, Sinar Plus mendapati kaedah promosi jualan sudah dilakukan oleh penjual yang kebanyakannya membabitkan menu makanan.
Begitu juga di Shah Alam Bazaar Ramadhan Online 2020 yang mana promosi makanan sudah dilakukan dengan harga serendah RM1 bagi sebungkus nasi lemak.
Jadi, walau apa pun situasi yang terpaksa kita hadapi tahun ini, ingatkan bersahaja itu lebih diperlukan supaya kita sentiasa bersyukur dengan rezeki yang diberikan dan sentiasa ingat pada Maha Pencipta. #janganputusasamalaysia