Foto: Rosli Talib dan Freepik
DARIPADA empat adik beradik, Azman Hilal, 23, paling cerewet bab kebersihan. Setiap kali pulang ke kampung, beliau akan membersihkan seluruh rumah neneknya dengan menggunakan vakum dari ruang tamu, dapur termasuk bilik yang bakal menjadi tempat tidurnya.
Sikap Azman memang bertempat. Masakan tidak, sejak kecil lagi, pelajar jurusan Ijazah Komputer Kejuruteraan di sebuah universiti swasta itu sering mengalami kegatalan pada kulitnya. Puncanya bukan pada makanan atau minum, tetapi disebabkan oleh habuk.
Salah satu pendekatan terkini yang digunakan oleh pemuda itu untuk mengelak kulitnya menjadi gatal dan berbintik-bintik merah pada leher, tengan, kaki dan muka, beliau telah membeli dua buah pembersih udara (air purifier).
"Saya sebenarnya mengalami ekzema sejak kecil, jadi sejak zaman bayi hingga sekarang, saya akan mengelakkan diri berada di kawasan yang terdedah kepada pencemaran stesen bas atau kawasan sesak dengan kenderaan.
"Memang benar, saya juga agak pasif. Tatkala rakan-rakan pergi berjoging atau bersukan, saya terpaksa memencilkan diri. Bukan apa, saya tak mahu menyusahkan ibu yang akan risau sekiranya melihat kulit saya bermasalah dan ia pernah terjadi banyak kali sebelum ini.
Bercerita mengenai ekzema, Pakar Perunding Dermatologi, Hospital KPJ Sentosa Kuala Lumpur, Dr Moonyza Akmal mempunyai pengetahuan yang lebih mendalam mengenainya.
[caption id="attachment_33730" width="1024"] DR Moonyza Akmal.[/caption]
Ujar Dr Moonyza, ekzema bukan sahaja boleh terjadi kepada golongan dewasa, malah kepada kanak-kanak mahupun bayi.
Ekzema yang juga dikenali sebagai atopik dermatitis pada asasnya memperlihatkan satu keadaan radang pada kulit disertai dengan gatal dan ruam merah.
Tidak berjangkit
Memperincikan lebih lanjut, Dr Moonyza memberitahu, ekzema selalunya terdapat pada kawasan muka (di sekeliling mata atau bibir), leher, pelipat siku dan pelipat lutut. Jika teruk ia boleh melibatkan keseluruhan kulit.
Memberi gambaran mudah, ekzema akan menyebabkan kulit seseorang menjadi seakan-akan berkerak, bersisik dan kadangkala akan berair.
Dr Moonyza turut memberi pencerahan kepada kekeliruan masyarakat tentang ekzema.
Katanya, ekzema merupakan penyakit keturunan (genetik) yang diwarisi. Pun demikian, ia tidak berjangkit.
[caption id="attachment_33729" width="1024"] DR Moonyza turut memberi pencerahan kepada kekeliruan masyarakat tentang penyakit tidak berjangkit itu.[/caption]
"Namun demikian, terdapat pencetus lain yang boleh menyebabkan masalah ekzema. Antaranya infeksi virus, bahan kimia atau perangsang seperti sabun, pembersih dan pewangi," beritahu beliau.
Penerangan Dr Moonyza itu sekali gus mewajarkan situasi yang dialami oleh Azman tadi.
Pemuda itu bukan sahaja mengalami kegatalan, malah turut berdepan dengan penyakit asma dan 'alergi' kepada sejenis sabun.
Pakar berkenaan menambah, masalah ekzema yang berlarutan akan memberi menyebabkan kulit menjadi pedih apabila luka digaru.
[caption id="attachment_33728" width="1024"] KEGATALAN akan membuat pesakit merasa ingin menggaru dan tindak itu akan menyebabkan kulit luka dan berdarah.[/caption]
Lebih parah, seseorang yang berdepan dengan hal itu akan sukar untuk tidur lena dek kerana kegatalan tersebut.
Kesesuaian pelembap
Adakah ekzema boleh diatasi? Menjawab persoalan itu, Dr Moonyza berkata, sebenarnya terdapat pelbagai cara untuk merawat ekzema dengan baik meskipun tiada ubat penyembuh.
"Ingat, masalah ekzema ini boleh berulang-ulang. Biasanya rawatan akan diberikan mengikut tahap yang dialami oleh pesakit itu sendiri sama ada tahap ringan, sederhana atau sangat teruk," katanya.
Ujar beliau, bagi mereka yang mempunyai masalah kulit sensitif, kering dan cenderung mengalami kondisi kulit seperti ekzema, penggunaan sodium laureth sulfate, sodium lauryl sulfate, bahan pewangi dan pengawet sama sekali tidak digalakkan.
Bagaimana pula dengan penggunaan pelembap? Dr Moonyza menjelaskan, pelembap yang ada di pasaran terdapat dalam pelbagai bentuk iaitu dalam bentuk cecair atau losyen, krim, oilmen atau penyembur (spray).
[caption id="attachment_33727" width="1024"] DR Moonyza Akmal (kiri) menerangkan mengenai bahan kandungan yang sepatutnya ada dalam pelembap yang bagus.[/caption]
Pelembap katanya, bergantung kepada tahap kekeringan kulit, cuaca dan kesesuaian diri pesakit. Lazimnya, ia mengikut bahan-bahan yang digunakan dalam isi kandungan pelembap berkenaan.
"Kulit ekzema adalah kering dan perlukan pelembap dengan kuantiti yang mencukupi untuk seluruh kawasan yang mengalami kegatalan. Pelembap harus disapu dengan kerap apabila kulit menjadi kering semula.
Pada masa sama, beritahu Dr Moonyza, terdapat juga ubat sapuan yang direka khas khusus untuk seseorang pesakit ekzema.
Ubat itu katanya, hanya boleh diberikan kepada pesakit setelah menerima lampu hijau dan nasihat daripada doktor.
"Justeru, sekali lagi saya ingatkan kepada pesakit ekzema, anda haruslah menggunakan pelembap yang sesuai kerana dengan penggunaan pelembap yang betul, ia dapat menghindari ekzema berulang semula.
ANEKDOT
CARA menangani masalah ekzema:
i) Pencegahan awal dengan menggunakan pembersih yang sesuai dengan kulit pesakit ekzema.
ii) Mempraktikkan cara mandi yang disarankan iaitu sekurang-kurangnya dua kali sehari.
iii) Memakai pelembap seusai mandi iaitu ketika kulit masih segar selepas mandi.
iv) Dapatkan nasihat doktor sebelum mencuba apa-apa jenis produk atau ubat sapuan di pasaran.
v) Sentiasa berhubung dengan doktor agar masalah ekzema dapat dikawal dan dikurangkan.
Sumber: Pakar Perunding Dermatologi, Hospital KPJ Sentosa Kuala Lumpur, Dr Moonyza Akmal.
**Artikel ini dibawakan khas kepada anda oleh Suu Balm.