SIRI 2
BAGI pesakit yang selesai menjalani pembedahan membuang pundi hempedu, rutin harian seperti keluar bekerja, berniaga ataupun menghadiri kuliah boleh dilakukan seperti biasa, asalkan luka jahitan sembuh sepenuhnya.
Namun begitu, mereka perlu mengambil perhatian dari segi corak pemakanan memandangkan diet untuk golongan tiada hempedu berbeza dengan mereka yang sempurna organ dalamannya.
Memetik kenyataan healthline.com, pesakit yang tidak lagi mempunyai pundi hempedu perlu mengelakkan beberapa kategori makanan bagi mengatasi masalah kesihatan lain.
Jika tidak mengawal pemakanan pesakit bukan sahaja berisiko mengalami cirit-birit, malah berdepan reaksi angin melampau dalam perut dan perut kembung.
Justeru, apakah pemakanan yang perlu dielak dan diamalkan? Pakar Pemakanan, Hospital Pantai Laguna, Merbok, Kedah, Norhamizah Sohaimi ada jawapannya.
[caption id="attachment_33800" width="1024"] JELAS Norhamizah, makanan bergoreng, berminyak dan bersantan harus dielakkan memandangkan badan pesakit tidak lagi mempunyai hempedu yang berfungsi menyerap dan mencerna lemak.[/caption]
Menurut Norhamizah, pesakit tanpa hempedu perlu mengelak makanan berminyak, berlemak dan bersantan dalam menu harian berikutan badan sudah kehilangan hempedu iaitu organ yang berfungsi menyerap dan mencerna lemak.
"Ini disebabkan pada minggu pertama selepas pembedahan, pesakit akan mengalami simptom cirit-birit, maka jika tidak mengawal pemakanan yang betul bimbang ia lebih memudaratkan," katanya.
Norhamizah menambah, fasa kedua pula iaitu memasuki minggu kedua, ketiga dan seterusnya, mereka dibenarkan menikmati hidangan berasaskan sayur-sayuran, karbohidrat dan protein mengikut konsep suku suku separuh.
"Bagi penggemar menu bersantan seperti kuah kari, disarankan menggantikan santan dengan susu rendah lemak atau hasilkan kari tanpa lemak mengikut resipi masyarakat India," terang beliau.
Kepada yang melanggar ‘pantang‘ seperti yang digariskan, Norhamizah berkata, tindakan terbabit dikhuatiri akan menganggu jantung dan usus pada kemudian hari.
Foto: Canva dan Freepik