SETELAH lama berehat dari dunia lakonan, pelakon Jehan Miskin tampil membuat kemunculan istimewa dalam filem TV (FTV) 10 Tips Tipu Bini yang kini ditayangkan di saluran Astro First.
Menafikan bakal kembali aktif dalam dunia lakonan, Jehan, 42, berkata, dia kini lebih selesa dengan kerja-kerja belakang tabir dan menumpukan perhatian kepada syarikat pengiklanan miliknya, Mastermind Group Sdn Bhd.
"Kemunculan saya dalam FTV ini hanyalah sekadar memenuhi undangan Datuk Awie, yang buat pertama kalinya tampil sebagai penerbit.
"Buat masa ini, saya belum terfikir kembali aktif berlakon selepas membuat keputusan berehat dan memberikan tumpuan pada perniagaan syarikat saya sejak lima tahun lalu.
"Saya menghasilkan iklan komersial melibatkan banyak brand seperti Petronas, Apple dan sebagainya, selain turut menerbitkan program dan telefilem,” katanya yang menubuhkan syarikat tersebut pada tahun 2009.
Dalam pada itu, Jehan menafikan keputusan itu disebabkan kecewa dengan industri seni.
Malah, bintang Qaisy & Laila itu mengakui sesekali timbul perasaan rindu untuk kembali beraksi di depan kamera.
"Bukan sudah tidak berminat dengan dunia lakonan atau kecewa dengan industri, tetapi komitmen saya lebih terarah kepada kerja belakang tabir yang lebih bersesuaian dengan saya sekarang.
"Sebenarnya sebelum bergelar pelakon lagi saya sudah aktif dalam pengiklanan, cuma apabila melibatkan diri dalam bidang lakonan, orang lebih nampak saya di situ.
"Bagaimanapun, sejak beberapa tahun lalu saya mula berfikir kembali tentang arah tuju saya apabila sedar rezeki banyak menyebelahi saya dalam bidang pengiklanan,” ujarnya yang mengakui ia pilihan tepat buatnya kini.
Berkongsi tentang kehidupan peribadinya, kata Jehan, dia kini teruja bakal bergelar bapa tidak lama lagi.
Isterinya, Julie Camelia Rhee, yang juga merupakan seorang warganegara Korea sedang hamil cahaya mata pertama mereka, selepas lebih tujuh tahun mendirikan rumah tangga.
"Saya menunggu tahun 2021 dengan penuh keterujaan kerana tidak lama lagi saya bakal bergelar bapa kepada cahaya mata sulung, hasil perkongsian hidup bersama isteri selama lebih tujuh tahun.
"Pada saat mendapat perkhabaran gembira itu beberapa bulan lepas, saya tidak dapat menyembunyikan kegembiraan dan dalam masa sama, rasa tanggungjawab itu terus datang dalam diri.
"Bukan sahaja untuk isteri dan anak yang bakal dilahirkan, tetapi saya juga merasa bertanggungjawab untuk lebih menjaga kesihatan diri sendiri demi keluarga kecil saya ini.
"Dalam masa sama, saya juga berharap agar Covid-19 segera berakhir dan kita dapat menjalani kehidupan yang lebih baik selepas ini,” akhirinya.
(FOTO: Rosli Talib & Instagram Jehan Miskin)