AKIBAT penularan kes positif Covid-19, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akhirnya mengambil keputusan hanya pelajar yang menduduki peperiksaan utama saja dibenarkan untuk hadir ke sekolah bermula esok.
Ia membabitkan pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) tahun 2020 serta peperiksaan antarabangsa yang setara.
Menurut kenyataan dari PKM, mereka sudah mengadakan perbincangan dengan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung situasi terkini itu.
Sementara itu semua murid dan pelajar tingkatan satu hingga lima akan mengikuti pembelajaran melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) mengikut kesesuaian guru juga bermula esok.
Namun, bimbang dengan kesejahteraan pelajar Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tampil dengan membangkitkan dua persoalan besar kepada Kerajaan.
Beliau berkata demikian adalah kerana dikhuatiri insiden seperti 18 orang pelajar asrama di Sabah yang didapati positif Covid-19 akan berlaku kepada pelajar-pelajar yang bakal pulang ke sekolah esok.
Syed Saddiq juga turut membangkitkan beberapa persoalan kepada kerajaan berhubung SOP Covid-19 antara kerajaan negeri Sabah dan arahan Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob.
Oleh itu, kerajaan harus segera mencari jalan untuk membuat ketetapan segera berkenaan perlaksanaan ujian saringan Covid-19 kepada para pelajar yang akan menyertai sekolah pada hari esok.