DIANGGARKAN bahawa kira-kira satu dalam tujuh pasangan mengalami kesukaran untuk hamil.
Jika pasangan suami isteri itu telah mengadakan hubungan kelamin tanpa perlindungan dengan kerap selama lebih daripada 12 bulan (atau kurang, jika anda berusia lebih 35 tahun) dan masih belum mengandung, dapatkanlah bantuan perubatan.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Persatuan Ubatan Reproduktif Amerika (ASRM) dan Kolej Perbidanan dan Ginekologi Amerika (ACOG) juga mengenal pasti ketidaksuburan sebagai satu penyakit akibat sistem pembiakan lelaki dan wanita yang tidak berfungsi dengan normal.
Dianggarkan ketidaksuburan ini berlaku kepada satu pasangan bagi setiap tujuh pasangan suami isteri.
Namun, kajian terbaharu dilakukan oleh pakar pula mendapati virus Covid-19 berisiko menyebabkan kemandulan kepada kaum lelaki.
Penemuan itu adalah hasil penyelidikan yang dilakukan oleh saintis yang diterbitkan dalam Jurnal Open Biology mendedahkan, kemandulan itu disebabkan virus Covid-19 berupaya mengurangkan kuantiti dan kualiti sperma seorang lelaki.
Jika sebelum ini terdapat juga kajian yang membuktikan golongan lelaki lebih mudah dijangkiti Covid-19 berbanding wanita, kini hasil keputusan terbaharu ujian ini dianggap sebagai 'ancaman global' terhadap potensi kesuburan lelaki.
Salah seorang penyelidik, Prof Shubhadeep Roychoudhury berkata, lelaki yang dijangkiti Covid-19 perlu diberi konsultasi psikologi bagi mengelakkan ketakutan yang tidak rasional dan tekanan yang berlebihan kerana ini secara tidak langsung mempengaruhi kesihatan serta sistem pembiakan.
Selain itu, laporan awal juga menunjukkan kemungkinan virus itu boleh disebarkan melalui hubungan seksual yang berpotensi menyebabkan komplikasi teruk kepada pasangan yang dijangkiti.
Menurut Roychoudhury, data berskala besar diperlukan untuk mengesahkan kajian tersebut memandangkan saintis masih kekurangan maklumat untuk penyelidikan jangka panjang.