JIKA sebelum ini nama Veveonah Mosibin cukup tular di media sosial gara-gara dia nekad memanjat pokok demi untuk mendapatkan capaian internet untuk menjawab ujian peperiksaan, kini tiga beradik dari Kampung Gana, Papar, Sabah menghadapi situasi serupa.
Menurut laporan portal media tempatan, mereka bertiga memulakan sesi Pengajaran dan Pembelajaran Dari Rumah (PdPR) dengan mendaki bukit di belakang rumah mereka bagi mendapatkan capaian Internet yang lebih baik.
Tidak seperti pelajar lain yang hanya perlu membuka peranti atau komputer di rumah mereka, Joshua Emmanuel Jeffery, 12 serta dua adiknya, Jordon Emmanuel, 9, dan Joshean Emmanuel, 8, terpaksa mendaki selama 20 minit sebelum dapat memulakan sesi PdPR.
Joshua Emmanuel berkata, mereka akan ditemani ibu Esther Dungin, 37, atau bapa mereka Jeffrey Joseph, 41, dan berada di atas bukit itu kira-kira tiga jam untuk mengikuti sesi PdPR masing-masing.
Joshean Emmanuel berkata, liputan Internet di kawasan rumah mereka agak lemah dan tidak memadai untuk membolehkan mereka melakukan pelbagai aktiviti PdPR.
Sementara itu, Esther berkata, liputan lemah di kawasan rumah mereka tidak mampu untuk menyokong aplikasi seperti YouTube yang digunakan untuk PdPR, menyebabkan dia dan suami berusaha mengenal pasti lokasi yang mempunyai liputan Internet lebih baik.
Katanya suaminya naik ke atas bukit itu yang terletak kira-kira 500 meter di belakang rumah mereka sebelum sesi persekolahan tahun ini bermula dalam usaha mencari isyarat Internet yang lebih baik.