GARAM Himalaya adalah sejenis garam merah jambu yang berasal dari kaki bukit Himalaya.
Masyarakat berpendapat, garam Himalaya yang mengandungi pelbagai mineral dianggap lebih sihat daripada garam biasa.
Benarkah pernyataan tersebut?
Sebelum memperincikan lebih jelas mengenainya, berikut SinarPlus kongsikan apa itu garam Himalaya dan perbezaannya dengan garam biasa.
Portal kesihatan antarabangsa, Healthline.com yang dipetik oleh Kompas menjelaskan, garam Himalaya adalah garam yang berasal dari kawasan perlombongan garam Khewra, berhampiran Himalaya, Pakistan.
Untuk pengetahuan pembaca, lombong garam Khewra adalah salah satu lombong garam tertua dan terbesar di dunia tau!
Menariknya, lombong berkenaan dipercayai sudah terbentuk berjuta-juta tahun yang lalu.
Garam Himalaya diekstrak secara manual dengan proses penyulingan minimum, jadi garam tersebut mempunyai bahan tambahan kimia yang sangat minimum.
Namun demikian, seperti garam biasa atau garam meja, garam Himalaya mempunyai kandungan natrium klorida yang tinggi.
Sebenarnya, cara menggunakan garam Himalaya adalah sama dengan penggunaan garam biasa iaitu untuk memasak, membuang sel kulit mati ketika mandi dan sebagainya.
Jadi, apa perbezaan antara kedua-dua jenis garam berkenaan?
Perbezaan antara garam Himalaya dan garam biasa adalah dari segi pemprosesan semula jadi yang disokong oleh kandungan mineral yang berbeza daripada garam biasa kerana garam Himalaya mempunyai warna merah jambu.
Ia kerana salah satu mineral yang menjadikan garam Himalaya berwarna merah jambu adalah zat besi.
Satu kajian pernah dijalankan untuk menganalisis kandungan nutrien pelbagai jenis garam termasuk garam Himalaya dan garam biasa (garam meja).
Berikut adalah hasilnya:
i) Garam himalaya setiap 1 gram (g) mengandungi:
- 1.6 miligram (mg) kalsium
- 2.8mg kalium
- 1.06mg magnesium
- 0.0369 zat besi
- 368mg natrium
ii) Garam biasa (garam meja) setiap 1g mempunyai:
- 0.4mg kalsium
- 0.9mg kalium
- 0.0139mg magnesium
- 0.0101mg zat besi
- 381mg natrium
Jadi, seperti yang dapat dilihat daripada perbandingan kandungan nutrien kedua-dua garam di atas, garam biasa mempunyai lebih banyak natrium daripada garam Himalaya.
Sementara itu, garam Himalaya pula mengandungi lebih banyak kalsium, kalium, magnesium dan zat besi.
Bagaimanapun, perbezaan kandungan nutrien daripada kedua-dua jenis garam berkenaan sangat kecil atau tidak signifikan.
Sebagai contoh, untuk memenuhi keperluan kalium setiap hari, memerlukan 1.7 kilogram garam Hilamaya setiap hari.
Ketahuilah, jumlah itu sangat tidak relevan untuk dimakan kerana pengambilan garam yang berlebihan akan memberi impak kepada kesihatan.
Bukan itu sahaja, terdapat juga beberapa tuntutan yang menyatakan faedah garam Himalaya seperti yang dapat menyokong diet.
Namun demkian,tuntutan kesihatan yang berkaitan dengan garam Himalaya belum mempunyai bukti kukuh atau kajian yang menyokong sepenuhnya.
Medical News Today juga berkongsi, memang ada di antara masyarakat awam hang mendakwa garam Himalaya mempunyai lebih rendah natrium berbanding garam biasa sehingga dianggap mampu menyokong proses diet seseorang.
Artikel berkiatan: Sedap tak semestinya masin, contoh makanan tinggi garam yang berisiko jika tidak dikawal
Sebenarnya, merujuk kepada data kajian, perbezaannya tidak signifikan sehingga tuntutan itu tidak benar kerana saiz kristal garam Himalaya lebih besar daripada garam biasa.
Namun demikian, harus diperhatikan, ada juga garam Himalaya yang memiliki ukuran butir yang sama dengan garam biasa. Jadi, dapatlah disimpulkan bahawa jumlah penggunaannya juga sama.
Sebaliknya, perkara yang perlu dipertimbangkan mengenai penggunaan garam Himalaya dan garam biasa sebenarnya berkaitan dengan had selamat penggunaan natrium setiap hari.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan Kementerian Kesihatan sentiasa mengesyorkan bahawa pengambilan garam setiap orang adalah maksimum 2,000mg natrium atau bersamaan 1 sudu teh (5g sehari) sahaja.
Oleh itu, kawal pengambilan garam kerana kesan sampingan pengambilan garam yang berlebihan dapat meningkatkan risiko kepada masalah tekanan darah tinggi, penyakit jantung, strok, osteoporosis dan penyakit ginjal. Semoga bermanfaat.