MENGANGGAP dirinya bertuah dapat memperkenalkan nama dalam masa singkat kepada industri, penyanyi sedang meningkat naik, Iman Troye, tekad untuk tidak mensia-sia peluang dimiliki.
Akui Iman atau nama penuhnya, Siti Nur Iman Alyssa Sahabudin, 19, populariti yang diraih menerusi single pertamanya, Teman, yang berjaya mencatat jumlah tontonan sehingga lebih 20 juta sejak dilancarkan pada September tahun lalu, ternyata sesuatu yang luar biasa buatnya.
"Alhamdulillah inilah yang dikatakan rezeki tidak disangka-sangka. Single Teman dihasilkan untuk memperkenalkan saya dalam industri, tetapi siapa sangka sambutan yang diterima lebih daripada itu.
"Memang nampak perjalanan saya seperti mudah, tetapi hakikatnya saya juga mempunyai cabaran sendiri dalam usaha membawa single ini ke depan.
"Apatah lagi saya juga masih dalam pengajian dan perlu membahagikan masa sebaiknya untuk memastikan pelajaran dan kerjaya berjalan lancar,” katanya yang kini sedang menuntut dalam bidang muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.
Tidak hanya itu, Iman juga akur dengan cabaran dilaluinya di mana saat hadir dalam industri, dunia dan negara sedang berdepan pandemik Covid-19 yang tentunya memberi banyak kekangan untuknya lebih aktif mempromosikan bakat.
"Semua orang ada cabaran mereka sendiri dan begitu jugalah dengan saya. Apa pun kalau nak berjaya, kita perlu berani berdepan cabaran dan guna peluang yang ada dengan sebaiknya.
"Memang tak dapat dinafikan peluang nak buat persembahan atau berjumpa peminat mungkin agak terhad ketika pandemik ini, tetapi pada zaman teknologi di hujung jari, kita sentiasa ada pilihan.
"Saya sendiri aktif menggunakan platform media sosial terutamanya Tik Tok untuk mempromosikan single Teman dan mendekatkan diri dengan peminat,” katanya.
Meski masih baru dalam industri, Iman turut tidak terlepas menerima pelbagai komen negatif dan kecaman daripada warga maya.
Bagaimanapun anak kelahiran Rawang, Selangor itu, sentiasa positif dan melihat ia sebagai asam garam yang harus dilaluinya, sebaik sahaja memilih bidang seni sebagai kerjaya.
"Saya sentiasa menerima segala komen dengan hati terbuka. Jika ia adalah komen membina, saya gunakan untuk memperbaiki diri dan begitulah sebaliknya.
"Mungkin ramai tak tahu, saya sebenarnya ‘rajin’ meluangkan masa membaca komen-komen di laman sosial saya, tidak kiralah yang baik atau sebaliknya.
"Mungkin dengan cara itu, saya dapat tahu apa peminat mahukan dan bagaimana reaksi mereka terhadap lagu atau persembahan saya,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Iman yang mempunyai ramai peminat dari golongan kanak-kanak itu juga berkongsi bakal tampil dengan single kedua pada Mac depan.
"Single kedua itu akan mengekalkan genre sama sebagaimana lagu Teman, tetapi ada kelainan dan kejutan yang ditampilkan.
"Kalau ikutkan, saya sebenarnya lebih cenderung kepada lagu balada kerana itu genre kegemaran saya sebelum ini, tetapi melihat kepada sambutan peminat terhadap single Teman, saya akur untuk kekalkan genre itu,” akhirinya.
(FOTO: Instagram Iman Troye)