PELAWAK lagenda tanah air, Datuk Jamali Shadat meninggal dunia pada jam 8.45 pagi, hari ini.
Jamali menghembuskan nafas terakhir pada usia 78 tahun, selepas beberapa bulan uzur dan tidak sihat.
Berita tersebut dimaklumkan cucu Allahyarham, Isyraq Ariff Zalull Ariff, 31, kepada media.
"Doktor sudah mengesahkan datuk sudah tiada. Urusan proses pengebumian akan dimaklumkan kemudian," katanya.
Terdahulu Allahyarham dikatakan mengalami kemurungan semenjak pemergian isterinya, Lela Yacob, lebih dua tahun lalu, selain kesihatan yang mula merosot.
Jamali menetap bersama anak dan menantunya di Pulau Indah, Klang. Allahyarham meninggalkan lapan anak dan 39 cucu.
Pada era kegemilangannya sekitar tahun 1980an, Allahyarham cukup dikenali sebagai seorang pelawak yang banyak menyampaikan mesej dalam persembahannya dan terkenal dengan kebolehan meniru pelbagai watak suara termasuk dalam bahasa Mandarin, Tamil dan lain-lain.
Malah Allahyarham juga sinonim dengan watak kanak-kanak bernama Atan bersama datuknya yang sering menjadi trademark dalam setiap persembahan komedinya, baik di pentas mahupun di kaca TV.