HANYA dengan sekelip mata, Covid-19 kini mengubah wajah kehidupan masyarakat dunia. Ia adalah satu musibah yang mampu menyerang tidak mengenal siapa sahaja sebagai mangsanya.
Baru-baru ini, seramai 56 orang, termasuk 22 orang bayi, di rumah perlindungan Baitus Solehah bagi ibu-ibu tunggal di Skudai, Johor terpaksa menjalani ujian saringan Covid-19 dan didapati kesemuanya positif.
Mereka yang didapati positif telah dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan dan menjalani tempoh kuarantin.
Kesemua mereka ditempatkan di Hospital Kluang, Hospital Permai dan Hospital Sultanah Aminah, Johor.
Menerusi catatan pengurus Baitus Solehah, Muna Liza Ismail di laman Facebook rasmi mereka berkata, jangkitan itu termasuk 22 orang ibu dan bayi-bayi mereka.
Menurut Muna Liza, Ibu-ibu itu berusia antara 15 dengan 32 tahun manakala bayi mereka dalam lingkungan usia 10 hari hingga setahun.
Rumah perlindungan itu sudah beroperasi sejak 2013 dan menempatkan ibu-ibu tunggal dari merata Malaysia termasuk juga Sabah dan Sarawak.
Baitus Solehah menyediakan tiga rumah perlindungan bagi wanita, termasuk satu yang dijadikan dormitori bagi ibu-ibu muda yang tidak dapat pulang ke kampung halaman masing-masing kerana Perintah Kawlaan Pergerakan (PKP).
Kakitangan Baitus Solehah juga sudah melakukan yang terbaik untuk memastikan semua penduduk tidak berasa terkejut apabila ambulans datang mengambil mereka untuk dihantar ke Hospital.