Lampu Hijau, Neeta masih bersama IamNeeta

Iklan
Neeta Manisha

BIARPUN banyak perancangan dan aktiviti seninya tertangguh disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), penyanyi Neeta tidak mahu menjadikan itu sebagai alasan untuknya berpeluk tubuh di rumah.

Sebaliknya kata Neeta atau nama penuhnya, Neeta Manishaa Manogaran, 27, dia sentiasa mengisi masa di rumah dengan menghasilkan lagu dan melakukan aktiviti berkaitan dunia muzik yang diminatinya.

Iklan
Iklan

"Saya seorang yang aktif dan tidak suka duduk diam di rumah. Jadi bila tak boleh bekerja di luar, saya cuba lakukan sesuatu yang bermanfaat dan saya suka di rumah.

"Buat masa ini saya banyak buat melodi lagu dan kongsi dengan rakan-rakan pemuzik saya dan kami sama-sama kongsi idea tentang karya tersebut.

Iklan

"Semoga melodi-melodi ciptaan saya itu dapat menjadi sebuah lagu yang baik dan diterima ramai nanti.

"Setiap hari saya sentiasa pastikan ada aktiviti yang dapat dilakukan kerana tidak mahu buang masa sepanjang PKP ini,” ujarnya.

Iklan

Dalam masa sama, Neeta yang semakin aktif bergerak solo selepas bergelar naib juara program Big Stage musim kedua itu, mengakui masih lagi bersama kumpulannya, IamNeeta.

Menurutnya, IamNeeta yang dianggotai oleh dirinya sendiri sebagai vokalis, Anas (bass) dan Patrick (gitar) kini tampil dengan single terbaharu mereka, Lampu Hijau, menerusi projek Gegaran Band yang dilancarkan secara eksklusif di Joox pada 29 Januari lalu.

"Kali terakhir kami tampil bersama sebelum ini ialah menerusi single Ilusi pada tahun 2019, sebelum IamNeeta berehat seketika.

"Projek ini sangat istimewa bukan sahaja pada peminat, tapi pada kami sendiri juga kerana memang rasa rindu sangat untuk kembali bersama.

"Jadi peluang diberikan Joox Original datang tepat pada masanya dan amat kami hargai,” katanya.

Berkongsi lanjut tentang karya tersebut, kata Neeta rakaman Lampu Hijau dilakukan secara berasingan disebabkan kekangan PKP pertama tahun lalu.

"Biarpun rakaman dibuat secara berasingan tetapi semuanya berjalan lancar dan terhasil sebagaimana yang kami mahukan.

"Lampu Hijau merupakan lagu ciptaan Patrick sendiri dan ia jadi lebih mudah untuk kami faham dan berikan yang terbaik mengikut cara kami.

"Cuma sayang sedikit kerana kami tidak sempat menjalani penggambaran muzik video kerana kekangan PKP. Bagaimanapun, peminat boleh menonton video lirik lagu ini terlebih dahulu.

"Saya harap lagu ini dapat mengubati rindu peminat dan sekali gus menghiburkan mereka yang lama menantikan karya terbaharu IamNeeta,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Neeta mengakui semakin jatuh hati dengan dunia pengacaraan selepas lebih setahun bergelar hos program Mbuzz.

Menyifatkan pengacaraan sebagai dekat dengan dirinya selain nyanyian, Neeta mengakui banyak belajar perkara baharu dalam hidupnya.

"Dulu saya pernah rasa sikap banyak bercakap yang ada pada diri saya ini sebagai suatu kelemahan, tetapi apabila bergelar pengacara, ia jadi sebaliknya.

"Saya belajar banyak perkara tentang keyakinan diri dan cara bercakap dengan lebih baik terutamanya apabila berada di depan kamera.

"Jadi selain menyanyi, pengacaraan menjadi benda yang saya selesa nak buat,” akhirinya.

 

(FOTO: Instagram Neeta)