BERIKUTAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dilanjutkan dua minggu di seluruh negara kecuali Sarawak, maka masyarakat disarankan untuk kekal berada di rumah.
Langkah tersebut adalah untuk memerangi penularan virus Covid-19 yang mana hari ini menyaksikan trend kes semakin meningkat.
Bosan duduk di rumah? Tak tahu nak buat apa? Sebenarnya, banyak aktiviti yang boleh dilakukan di kediaman peribadi. Satu daripadanya proses mengemas rumah.
Apa kata pada hujung minggu ini korang isi masa lapang dengan menghias dan mencantikkan rumah. Tidak perlu mengeluarkan wang pun kerana hanya perlu menggunakan peralatan sedia ada.
Kemas kamar
Sebaik sahaja bangun tidur dan selesai membersihkan diri, jangan sesekali membiarkan katil tidak berkemas dan longgokkan pakaian kotor begitu sahaja.
Disiplinkan diri mengemas tempat beradu sebelum melakukan aktiviti lain. Buka jendela supaya udara segar dan cahaya matahari masuk ke dalam bilik.
Menyapu
Selepas itu, mulakan dengan aktiviti menyapu di segenap ruang rumah. Jika inginkan hasil yang lebih optimum korang boleh menyedut habuk dan sampah menggunakan vakum.
Mop lantai
Selesai menyapu, lakukan pula aktiviti mengilat atau mop lantai di semua ruang termasuk dapur dan bilik tidur.
Sebaik-baiknya gunakan air bersih yang dicampur bersama cecair disinfektan bagi membantu mengurangi risiko virus Covid-19 dibawa dari luar.
Lap habuk
Kemudian, luangkan masa mengelap habuk yang melekat di barangan rumah. Pun begitu, pastikan cecair atau material kain digunakan bersesuaian dengan sifat peralatan berkenaan.
Langkah tersebut adalah untuk mengelakkan calar dan kerosakan.
Cuci bilik air
Pastikan ruang mandi sentiasa berada dalam keadaan bersih dan wangi. Gunakan berus dan bahan pencuci tandas bagi menanggalkan kotoran, lumut dan karat yang melekat di dinding, lantai dan mangkuk tandas.
Jika konsisten dan sistematik melunaskan aktiviti mengemas rumah secara tidak langsung ia dapat menyuntik semangat positif dalam diri kita.
Ini disebabkan kediaman yang kemas, tersusun dan cantik turut mempengaruhi mood dan sikap seseorang.