SETELAH hampir empat bulan melahirkan cahaya mata pertamanya, model terkenal, Gigi Hadid tampil berkongsi pengalamannya saat bergelar ibu.
Menerusi satu temubual bersama majalah Vogue edisi Mac yang rilis pada Jumaat lalu, isteri kepada selebriti Zayn Malik itu tampil berkongsi cerita, biarpun belum bersedia berkongsi wajah buah hatinya yang dikenali sebagai Khai itu.
Menurut Gigi, 25, proses bersalinnya mengambil masa yang panjang iaitu selama 14 jam di rumahnya yang terletak di Pennsylvania, Amerika Syarikat.
"Menerusi pengalaman ini, saya fikir ini adalah proses (bersalin) yang sewajarnya di lalui oleh semua wanita.
"Disebabkan terlalu kepenatan, saya tidak sedar anak saya sudah keluar. Saya tiba-tiba melihat Zayn sudah mendukung anak kami,” ujarnya yang bersalin secara normal diuruskan oleh jururawat terlatih dan pembantunya.
Selain Zayn, Gigi turut ditemani ibunya, Yolanda dan adiknya, Bella Hadid.
Dalam pada itu, Gigi menjelaskan pada awalnya dia merancang untuk bersalin di sebuah hospital di New York, namun disebabkan pandemik Covid-19 yang tidak membenarkan kehadiran ramai ‘peneman’, Gigi memutuskan untuk bersalin di rumah sahaja.
Tambahnya lagi, keputusan itu diambil selepas mereka menonton sebuah dokumentari berkaitan proses bersalin di rumah, The Business of Being Born.
"Selepas menonton dokumentari tersebut, saya rasa inilah jawapannya,” katanya.