PULAU PINANG sudah, di Terengganu sudah, Melaka juga sudah dan kali ini giliran Port Dickson pula.
Begitulah yang dilakukan oleh pengusaha hotel dan resort yang terpaksa menukar konsep perniagaan mereka dengan menawarkan khidmat menjual makanan demi kelangsungan hidup pekerja dan operasi hotel yang mengalami penurunan pendapatan dek pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Penjualan makanan terutama menu bajet yang ditawarkan semurah RM2 hingga RM3 pengusaha hotel lima bintang dan resort-resort terkemuka seolah menjadi trend dalam kalangan mereka sejak dua menjak ini.
Seperti di Port Dickson yang terkenal dengan lokasi tumpuan pelancongan yang pastinya terdapat puluhan hotel terkemuka, mereka kini tidak mahu terlalu bergantung kepada hasil jualan bilik penginapan sahaja.
Mana tidaknya, sejak PKP terpaksa dilaksanakan sekali lagi, tempahan bilik semakin merosot tambahan pula industri perlancongan tidak mampu beroperasi seperti sebelumnya bagi tujuan memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 supaya tidak terus berleluasa.
Oleh demikian, sebuah resort empat bintang di Port Dickson mengambil inisiatif menyediakan khidmat jualan makanan hasil air tangan cefnya berkonsepkan pandu lalu.
Memetik laporan portal media tempatan, Pengurus Besar Resort AnCasa Residences Port Dickson, Nazrul Nasihin berkata, usaha itu bertujuan menjana pendapatan sampingan demi kelangsungan dan menampung kos pengoperasian resort.
Mengulas lanjut, beliau berkata idea penjualan makanan secara pandu lalu itu tercetus berikutan lokasi resort terletak berhampiran tepi jalan raya utama sekali gus memudahkan pelanggan untuk membeli makanan.
Menurut Nazrul, untuk membuat pesanan juga cukup mudah!
Pelanggan boleh memesan secara dalam talian menerusi aplikasi Facebook dan laman sesawang resort terlebih dahulu atau boleh pandu terus ke pekarangan lobi utama resort untuk memesan makanan.
Pelanggan tidak perlu bersusah payah keluar dari kereta untuk beli makanan, mereka hanya perlu pesan dan tunggu di dalam kereta di parkir kereta disediakan.
Sementara itu pekerja di gerai juga diwajibkan memakai pelitup muka dan sarung tangan selain pelanggan perlu mengambil suhu sebelum dibenarkan masuk ke pekarangan resort.