PERASAN tak sejak kebelakangan ini cuaca agak panas daripada kebiasaan. Benarkah cuaca kita sudah banyak berubah? Ramai dalam kalangan kita mengadu cuaca sudah semakin panas.
Mana tidaknya kini jam sekitar 10 pagi pun matahari dah ‘duduk’ atas kepala. Panasnya ‘lain macam’!
Situasi itu adalah disebabkan oleh fasa akhir Monsun Timur Laut dengan taburan hujan yang agak rendah menjadi penyebab kepada berlakunya cuaca panas yang dijangka hingga April ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) juga memaklumkan kepada orang ramai cuaca panas yang dialami di seluruh negara ketika ini dijangka kembali reda bermula pertengahan April ini.
MetMalaysia dalam satu kenyataan yang dikongsikan di Twitter berkata, keadaan cuaca yang berlaku ketika ini adalah fenomena biasa yang berlaku sepanjang bulan Februari sehingga April setiap tahun.
Jelasnya, negara kini juga berada pada fasa akhir Monsun Timur Laut yang dijangka berterusan sehingga penghujung Mac tahun ini.
Bagaimanapun kata MetMalaysia, pihaknya tidak menjangkakan keadaan cuaca panas luar biasa berlaku pada tahun ini.
Mengulas lanjut, MetMalaysia berkata, sehingga kini suhu tertinggi bagi bulan Februari adalah sekitar 36.2°C berbanding bulan sama tahun lalu sekitar 37.4°C yang dicerap sekitar Stesen Meteorologi Kuala Kangsar, Perak.
Selain itu, MetMalaysia turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa peka dengan perubahan cuaca dan mendapatkan maklumat amaran cuaca terkini melalui laman web rasmi, aplikasi MyCuaca dan media sosialnya.