BAGI mengumpul dana membantu pejuang barisan hadapan, ITSU Malaysia menganjurkan konsert 360-darjah, ‘ITSU 360 Care U’, yang bakal distrim secara langsung dari Mega Star Arena, jam 8 malam, pada 20 Februari ini.
Konsert yang dipersembahkan oleh ITSU, diuruskan oleh Amazing Creative Group, disokong oleh Star Planet dan turut dijayakan oleh HK ATV dan Bigo Live sebagai rakan pengstriman.
Acara itu bakal menampilkan Ella, Sufian Suhaimi, Aiman Tino, Naim Daniel, Ernie Zakri, Ariff Bahran, Dolla dan Syamel.
Konsert maya tersebut menggunakan kamera 360-darjah yang unik dan pertama kali diperkenalkan di Malaysia.
Tujuan utama inisiatif ini untuk mengumpul dana bagi membantu pejuang barisan hadapan yang terkesan dengan situasi pandemik.
Menurut Pengarah Jualan Serantau dan Ahli Lembaga Pengarah Syarikat ITSU, Deric Mun Hoong Kit, pihaknya menyasarkan kutipan sebanyak RM500,000 daripada konsert tersebut.
"Konsert maya secara langsung itu adalah kombinasi pelancaran kempen baharu ITSU 360 dan konsert amal.
"Ia boleh disaksikan dengan percuma. Kempen ini bertujuan menyebarkan perasaan prihatin dan penyayang di kalangan rakyat Malaysia, terutamanya untuk pejuang barisan hadapan.
"Orang ramai boleh menderma dengan mengimbas kod QR Touch n Go ewallet yang akan dipaparkan semasa konsert tersebut,” katanya pada sidang media secara atas talian baru-baru ini.
Orang ramai boleh menonton konsert secara langsung ini menerusi laman YouTube ITSU MY, Facebook ITSU WORLD, Facebook ITSU Indonesia, Facebook Amazing Creative Group, Facebook HK ATV, Facebook Star Planet dan juga Bigo Live App.
Bagaimanapun efek kamera 360-darjah hanya boleh dinikmati di laman YouTube ITSU MY sahaja.