STESEN radio Hot FM memaklumkan kontrak dan khidmat Shuk Sahar sebagai penyampai radio ditamatkan berkuat kuasa pada Khamis.
Pengurus Besar Kumpulan Audiens & Pemasaran Ripple, Anida Mohd Tahrim berkata, hasil siasatan dalaman yang dibuat mendapati kontroversi membabitkan Shuk itu melanggar kontrak perkhidmatan.
"Siasatan dalaman mendapati berlakunya pelanggaran terma perjanjian oleh Shuk seperti yang sudah dipersetujui dalam kontrak perkhidmatan sebagai penyampai radio Hot FM.
"Shuk juga sudah dimaklumkan mengenai hal ini," katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.
Penamatan perkhidmatan Shuk atau nama sebenarnya Mohammad Shukri Mohamed Sahar itu susulan tugasnya sebagai penyampai radio Hot FM digantung buat sementara pada 24 Januari lalu.
Anida berkata, pihak pengurusan Hot FM turut mengumumkan segmen Geng Pagi Hot (GPH) tampil dengan wajah baru bermula 15 Februari lalu menerusi gandingan Fizie dan penyampai baharu Hot FM, Mark Adam.
[caption id="attachment_38126" width="1024"] Mark Adam kini menyertai Hot FM dan mengendalikan Geng Pagi Hot bersama Fizie.[/caption]
"Selepas Shuib berundur dari Hot FM, kami sudah merancang untuk memberi pembaharuan kepada GPH dengan kemasukan Mark Adam.
"Reputasi Mark sebagai penghibur serba-boleh memberikan nafas segar untuk segmen GPH.
"Harapan kami supaya pendengar akan terus menyokong Hot FM dan kami menjanjikan pengisian yang terbaik buat semua khususnya pendengar setia Hot FM," katanya.
GPH bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat, bermula jam 6 pagi hingga 10 pagi.