BAGI mereka yang lahir pada tahun 1981 hingga 1996, pasti membesar dengan rancangan kartun lagenda yang masih malar segar sehingga kini.
Antara rancangan kartun yang sering ditayangkan di kaca televisyen seperti Doraemon, Sailor Moon, Crayon Shin-Chan, Mr. Bean dan banyak lagi.
Pastinya, NTV7 menjadi antara saluran televisyen kegemaran anak-anak setiap malam bermula jam 7 malam dan hujung minggu.
Golongan mak-mak pun tidak terkecuali bagi mereka yang suka menonton telenovela yang memang legend pada tahun 90-an seperti Yo Soy Betty La Fea, La Usurpadora, Maria Mercedes, Rosalinda dan lain-lain.
Fenomena rancangan telenovela memang menjadi trending satu ketika dahulu dan menjadikan NTV7 antara saluran paling dinantikan mak-mak setiap petang.
Tidak kurang juga ada beberapa rancangan yang menjadi kesukaan penonton yang disiarkan pada sebelah malam seperti Grey’s Anatomy, rancangan medik popular dan drama penyiasatan seperti CSI: Miami, CSI: NY dan CSI: Las Vegas.
Memang best rancangan penyiasatan itu lebih-lebih dikendalikan pelakon hebat seperti William Peterson yang memegang watak Gil Grissom, David Caruso (Horatio Caine) dan Gary Sinise (Mac Taylor).
Sebelum muncul rancangan televisyen swasta, NTV7 juga antara mencuri tumpuan peminat K-Drama popular satu ketika dahulu seperti Full House dan Stairway to Heaven.
Pun begitu, tak sangka pula selepas lebih 20 tahun menjadikan kehidupan rakyat Malaysia ceria dan penuh drama, akhirnya NTV7 ditutup.
SPANAR JAYA
Satu lagi, yang paling tidak boleh dilupa adalah sitkom Spanar Jaya.
Salah seorang pelakonnya, Sharifah Sofia mengimbau kenangannya bersama rancangan komedi itu menerusi Twitternya.
Ketika membintangi rancangan itu, beliau baru berusia 15 tahun.
"NTV7 adalah permulaan buat saya, selepas habis PMR saya mula dalam bidang hiburan.
"Saya pernah menangguhkan pembelajaran selama 3 bulan untuk habiskan sesi penggambaran 52 episod Spanar Jaya.
"Bayaran terbesar diterima ketika berusia 15 tahun. Pengalaman mengubah kehidupan ini," katanya melalui ciapannya baru-baru ini.
Seperti yang semua sedia maklum, NTV7 kini dikenali sebagai DidikTV Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memudahkan program Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
SinarPlus difahamkan, saluran tersebut akan bersiaran 17 jam bermula jam 7 pagi sempena normal baharu sistem pembelajaran sepanjang negara masih dilanda wabak Covid-19.
Berikut SinarPlus tidak ketinggalan berkongsikan beberapa foto rancangan popular yang masih menjadi kenangan buat rakyat Malaysia. Bolehlah imbas kembali momen-momen zaman kanak-kanak.
Rancangan kartun seperti Sailor Moon, Crayon Shin-Chan dan Mr. Bean yang lucu.
Drama telenovela yang sememangnya menjadi idola mak-mak setiap petang.
Drama antarabangsa menyeri malam rakyat Malaysia.
Drama Korea tidak kurang hebatnya.
Ada tak yang tidak pernah menonton rancangan yang disebutkan di atas? Min sendiri pun masih teringat telenovela yang memang best lagi-lagi dialih suara ke bahasa Melayu.
Memang lucu tetapi menyeronokkan! Moga NTV7 menjadi kenangan buat semua.