TERHASIL daripada cetusan idea Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, TV AlHijrah membawakan program MY H.A.U.S pada setiap Isnin, jam 9 malam.
Program yang menyantuni golongan asnaf itu dengan cara baik pulih rumah kediaman, sudah mula disiarkan sejak 25 Januari lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah Namanzee Harris berkata, sambutan itu membuktikan penonton Malaysia cakna dengan kesusahan masyarakat setempat.
"Kami terima banyak emel aduan dan cadangan yang memaklumkan kondisi rumah masyarakat setempat serta jiran tetangga mereka yang memerlukan bantuan baik pulih.
"Pada musim pertama rancangan MY H.A.U.S ini, tiga belas keluarga asnaf sekitar Negeri Sembilan, Johor, Perak, Pahang dan Terengganu telah dikenal pasti dengan bantuan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM) dan Yayasan Bina Insan Malaysia (YBIM).
[caption id="attachment_38357" width="1024"] Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris.[/caption]
"Semua mereka ini kami jadikan responden yang berpeluang menikmati bantuan baik pulih rumah. Apa yang menarik, bukan sahaja dibantu penaja dan pihak berkuasa tempatan, usaha kami ini turut mendapat kerjasama persatuan dan penduduk kampung yang bergotong-royong membersihkan kawasan rumah responden.
"Insya-ALLAH, seandainya ada peluang, kita cuba lanjutkan rancangan ini untuk musim kedua,” jelasnya.
Rancangan MY H.A.U.S episod kelima yang bakal disiarkan pada Isnin, 22 Februari ini membawakan tems istimewa iaitu ‘dalam rezeki kita ada hak orang lain’.
Episod ini memaparkan kisah seorang ibu tunggal dari Kampung Teluk Payang, Bota Kiri Perak yang tidak mengenal erti putus asa dalam membesarkan anak-anak walaupun kesempitan hidup.
Di sebalik sakit yang dideritainya akibat kemalangan di tempat kerja, Norhayati Said masih bertungkus lumus mencari rezeki yang halal buat keluarganya.