BARU-BARU ini tular mengenai Facebook mengatakan baby nenas (Ananas commosus) dari Thailand yang didakwa mengandungi bahan kimia pemanis siklamat dan beracun.
Adakah pemanis siklamat dibenarkan untuk digunakan di Malaysia?
Mengulas secara terperinci mengenai pertanyaan itu, SinarPlus berkongsi pandangan daripada Pensyarah Kanan Kimia, Universiti Teknologi Mara, Dr Fatimah Salim.
[caption id="attachment_38385" width="1024"] Dr Fatimah Salim.[/caption]
Terang Dr Fatimah Salim di platform Facebooknya, siklamat merupakan sejenis pemanis tiruan tanpa zat (artificial sweetener) berkod 952 yang mempunyai tahap kemanisan 30 ke 50 kali lebih daripada gula putih atau sukrosa.
Sebenarnya, bahan kimia itu juga ada digunakan untuk mengurangkan rasa pahit untuk sesetengah ubat seperti antibiotik.
Bukan itu sahaja, ia dijadikan pemanis di dalam masakan, pembuatan kek dan pastri.
Namun demikian, berdasarkan dapatan kajian pada tahun 1966, sesetengah bakteria di dalam usus besar boleh menukarkan siklamat kepada bahan kimia toksin cyclohexylamine.
Kajian-kajian lain pula melaporkan, siklamat dan persediaannya juga berpotensi menjadi punca kepada masalah kanser.
Pun begitu, sehingga kini, isu siklamat penyebab kanser sebenarnya masih lagi kontroversi.
"Walaupun Kesatuan Europah (European Union) masih lagi mengkategorikan siklamat adalah selamat, namun atas dasar mementingkan keselamatan pengguna, ia telah diharamkan di Amerika Syarikat dan di kebanyakkan negara lain.
Oleh itu, SinarPlus ingin menasihati orang ramai agar tidak mengambil makanan yang boleh menimbulkan keraguan sehingga boleh menjejaskan masalah kesihatan pada kemudian hari.
Semoga perkongsian di atas memberi manfaat kepada semua pembaca. Selamat berehat!