PELAKON cantik Hannah Delisha tidak menganggap pernikahannya dengan suami, Muhammad Imam Shah, 32 pada Khamis lalu sebagai satu kejutan, sebaliknya lebih kepada dirinya mengutamakan privasi apabila melibatkan soal peribadi.
Tidak hairanlah hubungan istimewanya dengan suami yang juga merupakan seorang pelakon, sejak lima tahun lalu tidak dapat dihidu mana-mana pihak sehinggalah mereka dinikahkan di sebuah hotel terkemuka, di Singapura beberapa hari lalu.
Menurut pemilik nama sebenar, Hannah Adlina Blackburne-Birch, 25, dia sangat bersyukur apabila majlis yang dirancang berjalan dengan lancar biarpun diadakan secara tertutup melibatkan keluarga kedua belah pihak disebabkan pandemik Covid-19.
"Alhamdulillah saya sangat gembira dan bersyukur kepada Allah kerana segalanya berjalan dengan lancar.
"Saya minta maaf sebab memang kurang selesa berkongsi hal peribadi. Memang tak pernah saya nak post dalam media sosial yang Hannah bercinta selama ini.
"Bagi saya, biarlah kita sah dahulu barulah kita share. Kita dahulukan yang wajib. Itu yang lebih utama,” jelasnya.
Berkongsi tentang latar belakang suaminya, Hannah mengakui telah lama mengenali Imam sejak mereka berlakon bersama di Singapura lima tahun dahulu.
"Saya kenal Imam masa kita shoot sebuah drama episod yang bertajuk Faculty di Singapura lima tahun lepas.
"Imam seorang yang sangat penyabar, penyayang, dan kelakar. Dialah yang sebenarnya banyak mendorong Hannah untuk lebih cenderung ke arah keagamaan.
"Alhamdulillah apa dilihat pada saya sekarang, sedikit sebanyak adalah hasil bimbingan Imam juga,” katanya yang mohon semua mendoakan kebahagiaan rumah tangganya dan suami.
Menyentuh tentang majlis persandingan, kata Hannah, buat masa ini mereka masih belum mempunyai Tarikh dan akan berkongsi apabiloa keadaan semasa bertambah baik.
"Majlis bersanding kita akan umumkan nanti. Insya-ALLAH kami buat secara sederhana sahaja untuk keluarga dan teman rapat.
"Tentang tarikh, saya tak boleh nak beritahu lagi sebab biarlah kes Covid yang sedang menular di seluruh dunia ini tamat dahulu.
"Bila keadaan kembali normal, barulah kami akan kongsi tarikh majlis bersanding,” katanya.