TAK pernah kenal erti penat! Begitulah gambaran yang dapat diberikan kepada pendakwah dan dermawan terkenal, tidak asing lagi iaitu Ustaz Ebit Lew apabila hari ini beliau sekali lagi merancang untuk meluaskan lagi kerja-kerja kemanusiaan dan kebajikannya.
Terbaharu, menerusi perkongsian beliau di Facebook hari ini, Ebit dilihat bertemu dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa bagi membincangkan aktiviti-aktiviti kerja amal yang dibuat.
Ebit juga memaklumkan akan membuka ‘Restoran Free’ sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya tidak lama lagi dengan menyediakan makanan kepada golongan yang benar-benar memerlukan dan kelaparan secara percuma.
Tidak hanya membuka ‘Restoran Free’, Ebit juga berhasrat untuk membuka tempat penginapan baharu untuk golongan gelandangan di ibu negara selain menyediakan tapak berniaga untuk penjaja dan membantu mereka dari segi dana dan pendapatan tetap.
Itu adalah beberapa rancangan awal yang dikongsi Ebit menerusi pertemuannya bersama Annuar Musa hari ini.
Ebit juga turut ditanya Annuar, tidak penatkah menjejalah ke sana sini dengan menggunakan kudrat dan dana yang banyak semata-mata untuk membantu golongan memerlukan.